KUALA LUMPUR 19 Ogos - Tiga pelancong perubatan serta dua rakan mereka dari Indonesia yang tiba di Pulau Pinang minggu lalu diasingkan di wad khusus serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Perkara tersebut disahkan oleh sebuah hospital swasta di Pulau Pinang, Island hopsital yang bertanggungjawab menguruskan pesakit berkenaan.
Island Hospital dalam satu kenyataan berkata, pesakit dan rakannya turut memenuhi kesemua syarat kemasukan yang digariskan termasuk memperoleh keputusan negatif dalam ujian saringan COVID-19 RT-PCR tiga hari sebelum tiba di negeri itu.
"Kelulusan diterima pada 5 Ogos daripada Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen yang diselia oleh Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).
"Penerbangan sewa khas perubatan antarabangsa yang membawa pesakit itu diurus dengan ketat semasa mendarat dengan seliaan pihak Malaysia Airport Berhad, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Imigresen dan MHTC," jelas Island Hospital.
Dalam pada itu, pesakit dan rakannya juga melalui protokol keselamatan yang ketat semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan mematuhi semua SOP ketika dalam perjalanan dari lapangan terbang ke hospital.
Setelah tiba di Island Hospital, kesemua mereka disaring dengan tiga jenis ujian COVID-19 iaitu RT-PCR, Antigen dan Antibody selain diasingkan di wad khusus melalui laluan khas yang dikawal 24 jam.
Hopsital juga memutuskan untuk mereka diasingkan selama 14 hari tanpa sebarang lawatan oleh pihak lain.
"Pada hari ke-13, mereka akan menjalani saringan COVID-19 yang lain dan tetap akan diasingkan di wad masing-masing hingga benar-benar bersih daripada wabak.
"Pesakit yang mendapat rawatan sebagai pesakit luar juga turut mengikuti SOP yang ketat seperti pemeriksaan suhu badan, penggunaan pelitup muka dan pendaftaran MySejahtera selain ujian COVID-19 secara percuma kepada pemegang MyKad sebelum dibenarkan memasuki hospital," jelas Island Hospital lagi.
Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang mula menyekat kemasukan pelancong perubatan susulan peningkatan jumlah kes di negeri berkenaan.
Semalam pula, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kerajaan negeri tidak dibenarkan untuk membuat sebarang sekatan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com