Pelantikan bukan ahli politik sebagai Menteri Kewangan II bagi memastikan MOF tidak terjejas oleh tekanan politik - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Pelantikan bukan ahli politik sebagai Menteri Kewangan II bagi memastikan MOF tidak terjejas oleh tekanan politik - PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media pengumuman senarai Kabinet baharu di Putrajaya.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Dis - Pelantikan bukan ahli politik sebagai Menteri Kewangan II adalah bagi memastikan kementerian itu memberi fokus kepada ekonomi dan tidak terjejas dengan tekanan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Bercakap pada sidang media selepas mengumumkan barisan Kabinet dan timbalan menteri baharu, Anwar, yang mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan, berkata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah menunjukkan kecekapannya ketika menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Amir Hamzah dilantik sebagai senator Dewan Negara hari ini bagi membuka laluan kepada jawatan menteri pertamanya sebagai Menteri Kewangan II. Beliau sebelum ini berada di KWSP sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, jawatan yang beliau berkhidmat sejak Mac 2021.

 

“Pandangan peribadi saya, dan saya fikir saya telah membina konsensus umum ini bahawa Kementerian Kewangan (MOF), selain diketuai oleh saya, mesti mempunyai pasukan profesional yang kuat bagi memastikan kita berada di landasan yang betul dan fokus kepada ekonomi, dan tidak boleh diketepikan atau dipesongkan oleh tekanan politik.

 

“Beliau telah menunjukkan kecekapan dan kebolehan yang cukup, dan telah menguruskan hal ehwal KWSP dengan cara yang mengagumkan,” kata Anwar, ketika ditanya mengenai pelantikan Amir Hamzah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CEO KWSP dilantik sebagai Menteri Kewangan II, Johari Ghani Menteri Perladangan dan Komoditi

 

Di MOF, perubahan lain termasuk pelantikan Lim Hui Ying iaitu kakak kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebagai Timbalan Menteri Kewangan yang baharu.

 

MOF
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

 

Dua timbalan terdahulu, Datuk Seri Ahmad Maslan kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya manakala Steven Sim dinaikkan pangkat ke Kabinet sebagai Menteri Sumber Manusia.

 

Dengan perubahan terkini, bilangan menteri Kabinet telah meningkat kepada 31, daripada 28, dan bilangan timbalan menteri meningkat kepada 29, daripada 27.

 

Dari segi parti politik, DAP-Pakatan Harapan (PH) dan UMNO-Barisan Nasional (BN) masing-masing mempunyai satu jawatan tambahan Kabinet, menjadikan jumlah PH kepada lima dan BN tujuh, manakala PKR kini mempunyai enam timbalan menteri berbanding lima.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai penuh Kabinet Malaysia, empat kementerian baharu diwujudkan 

 

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak melihat lagi perubahan dalam barisan Kabinet jika prestasinya baik dan jika tiada lagi tekanan atau isu baharu.

 

“Saya harap jika prestasinya baik dan memuaskan, jika tidak ada tekanan-tekanan atau kemunculan isu baharu seperti digital, saya rasa tidak perlu lagi perubahan untuk empat tahun akan datang sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

 

Perubahan dalam barisan Kabinet serta Timbalan Menteri dalam kerajaan perpaduan itu dilakukan bagi menangani tuntutan semasa, kata Anwar.

 

Beliau berkata, ia termasuk isu sekitar kos sara hidup, penerimaan antarabangsa, hal ehwal pendidikan tinggi, serta transformasi digital. - DagangNews.com