Pelantikan Khairil Nizam bukan atas dasar politik, kata MB Kedah | DagangNews Skip to main content

Pelantikan Khairil Nizam bukan atas dasar politik, kata MB Kedah

EMIR MUKMIN
editor@dagangnews.com
 

ALOR SETAR 9 Sept. - Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan pelantikan Ketua Pemuda Pas, Ir. Khairil Nizam Khirudin sebagai Pengarah di Bina Darulaman Berhad (BDB) baru-baru ini, bukanlah dibuat atas dasar politik.

Sebaliknya kata beliau, pelantikan yang berkuat kuasa 6 September lalu itu dibuat bersandarkan kepakaran serta profesionalisme dimiliki individu berusia 41 tahun tersebut.

"Saya lantik beliau bukan kerana statusnya sebagai Ketua Pemuda Pas tetapi atas kepakaran dimiliki. Khairil memiliki kepakaran dalam bidang keselamatan kerana beliau merupakan jurutera dalam bidang minyak dan gas.

"Saya difahamkan dalam negara ini, cuma ada lima orang yang memiliki kepakaran sepertinya. Jadi rugi kalau kita tak letakkan orang hebat di tempat sewajarnya hanya semata-mata kerana beliau memegang jawatan dalam parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
 

mb
Muhammad Sanusi Md. Nor menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Darul Aman, Alor Star, Kedah hari ini. - Gambar EMIR MUKMIN


Ketika ini tular di media sosial mengenai pelantikan Khairil yang didakwa dibuat atas dasar politik. Beberapa pihak turut mempertikaikan pelantikan itu kerana Khairil bukanlah anak jati Kedah, sebaliknya berasal dari Ipoh, Perak.

Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, pihaknya selepas ini akan membawa lebih ramai golongan profesional dalam Pas terutamanya mereka yang berkebolehan untuk menyumbang kepakaran masing-masing kepada kerajaan.

"Ramai lagi kepimpinan Pas yang bertaraf Ir., Ar. dan sebagainya. Malah ada kepimpinan Pas yang bertaraf profesor dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Indah Water Konsortium (IWK).  

"Kita akan buka lebih banyak ruang kepada orang seperti ini. Sekali lagi saya tegaskan bahawa pengambilan mereka ini bukan kerana mereka pandai berpolitik sebaliknya atas kepakaran mereka," katanya.

Khairil Nizam yang merupakan calon Pas bagi pilihan raya umum ke-14 di Parlimen Gombak sebelum ini merupakan lulusan Universiti Teknologi Petronas dalam bidang kejuruteraan mekanikal serta pengurusan dan penyenggaraan aset.

Beliau kini merupakan ketua jurutera integriti di Talisman Malaysia Limited / Repsol Oil & Gas Malaysia Limited.

Selain itu Khairil Nizam turut pernah menjadi Pengurus Pemeriksaan Teknikal di Bahagian Pemeriksaan dan Jaminan, Petronas Carigali Sdn. Bhd. - DagangNews.com