Pelantikan unit HSS Engineers dilanjutkan bagi projek naik taraf loji rawatan air di Kubang Pasu | DagangNews Skip to main content

Pelantikan unit HSS Engineers dilanjutkan bagi projek naik taraf loji rawatan air di Kubang Pasu

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan - HSS Engineers Bhd. menerusi syarikat bersekutunya, SMHB Sdn. Bhd. memperoleh lanjutan pelantikan oleh Kerajaan Negeri Kedah menerusi Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) untuk menaiktaraf loji rawatan air di Kubang Pasu, Kedah. 

 

SMHB pernah memeterai perjanjian utama dengan SADA bagi membolehkannya menyediakan perkhidmatan reka bentuk untuk projek yang bermula 1 Disember 2016 hingga 1 Januari 2022, dengan nilai kontrak asal sebanyak RM16 juta. 

 

Bagaimanapun, pada 11 Januari 2022, SMHB menerima Perjanjian Tambahan yang melanjutkan pelantikan SMHB merangkumi peringkat pembinaan projek mulai 2 Januari 2022 hingga 28 Ogos 2025, dengan nilai kontrak disemak semula sebanyak RM22.7 juta.

 

Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 hingga 31 Disember 2025.

 

Menurut pengaturan gabungan eksklusif antara SMHB dan SMHB Engineering Sdn. Bhd. (SMHBE), anak syarikat milik penuh HSS Engineers, SMHB dan SMHBE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyempurnakan kontrak tersebut. 

 

Dalam kenyataan hari ini, Naib Pengerusi Eksekutif HSS Engineers, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, pelantikan SMHB ini dengan skop perkhidmatan yang diperluaskan menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Kedah untuk meningkatkan infrastruktur sektor air mereka dan pada masa sama mengiktiraf keupayaan kumpulan. 

 

"Saya sangat gembira kerana kumpulan memulakan tahun baharu dengan mengukuhkan kepimpinan kami dalam menyediakan perkhidmatan perundingan kejuruteraan untuk sektor penting seperti air, rel dan pengangkutan jalan raya, di samping turut menyertai bidang pertumbuhan baharu seperti telekomunikasi.

 

"Kami percaya ini akan memberi pertumbuhan yang kukuh kepada kami ketika melangkah ke masa hadapan," katanya. 

 

Pada Isnin, HSS Engineers berjaya mempelbagaikan pembabitannya dalam sektor telekomunikasi selepas unitnya, HSS Integrated Sdn. Bhd. memperoleh 2 Perjanjian Perkhidmatan Rangka Kerja daripada Digital Nasional Bhd. (DNB) untuk menyediakan perkhidmatan perundingan bagi pelaksanaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia.

 

Sebelum itu, pada 3 Januari 2022, SMHB menerima surat pelantikan sebagai jurutera perunding bagi menaik taraf projek jambatan Sungai Marang di Marang, Terengganu membabitkan kontrak bernilai RM15.1 juta. - DagangNews.com