Pelantikan Wavpay Fintech dibuat menerusi jemputan perolehan RFP Kerajaan Selangor | DagangNews Skip to main content

Pelantikan Wavpay Fintech dibuat menerusi jemputan perolehan RFP Kerajaan Selangor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd (Wavpay) menegaskan bahawa bahawa pelaburan yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor di dalam syarikat itu adalah berdasarkan pertimbangan wajar. 

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brahma Shakthi berkata, pelantikan mereka dibuat melalui satu jemputan perolehan dibawah permintaan untuk cadangan (RFP) oleh Kerajaan Selangor pada 15 Julai 2020, melalui Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) bagi tujuan membantu mereka mencapai visi menjadi “Smart State” menjelang tahun 2025.

 

Matlamat utama mereka adalah  untuk menukar sistem pembayaran kerajaan negeri dari kaedah konvensional kepada pembayaran digital melalui e-dompet (e-wallet).

 

Beliau berkata, pihaknya telah terlibat dalam beberapa siri pembentangan, penilaian, penjelasan dan proses tapisan dengan MBI dari Julai 2020 hingga Jun 2021. 

 

Katanya, setelah melalui proses tersebut, pihaknya telah disenarai pendek sebagai peserta akhir untuk pembentangan akhir pada 11 Jun 2021. 

 

Pada 28 Jun 2021, Selangor E Wallet Sdn Bhd (SEW), sebuah anak syarikat MBI, telah secara rasmi memaklumkan pemilihan kami sebagai rakan kongsi bagi pembangunan e-dompet dan inisiatif tanpa tunai melalui RFP ini.

 

Brahma berkata, proses ‘due diligent’ yang ketat dilakukan oleh perunding yang mempunyai reputasi dan berpengalaman yang dilantik oleh SEW untuk memuktamadkan pelaburan tersebut. 

 

"Proses ini telah berlangsung dari Ogos 2021 hingga Februari 2022, merangkumi pemeriksaan teknologi, komersial, kewangan, cukai, dan aspek undang-undang kami. 

 

"Rentetan daripada perlaksanaan due diligent ini, SEW, dengan nasihat konsultan yang dilantik, telah melanggan saham baru didalam syarikat itu bagi memastikan perlaksanaan RFP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Brahma ingin menegaskan bahawa penubuhan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd adalah sematamata untuk memfasilitasi perjanjian usahasama antara SEW dan Wavpay. 

 

"Proses ini telah dijelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Ogos 2022, bagi menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti kerana kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan," katanya.

 

Setelah selesai proses usaha wajar, SEW memperoleh 49% kepentingan dalam Wavpay yang termasuk anak syarikatnya.

 

Beliau menegaskan bahawa sebelum pelaksanaan perjanjian dengan SEW, anak syarikatnya Wavpay Systems Sdn Bhd dan Wavpay Credit Sdn Bhd sudah mempunyai modal berbayar masing-masing RM9.04 juta dan RM1.1 juta.

 

Wavpay Systems ialah pengeluar e-wang yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia untuk mengendalikan e-dompet manakala Wavpay Credit beroperasi sebagai pemberi pinjaman wang berlesen mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. - DagangNews.com