Pelbagai faktor pengaruhi kadar inflasi 2022, diunjur menyederhana sekitar 2.1-2.5% | DagangNews Skip to main content

Pelbagai faktor pengaruhi kadar inflasi 2022, diunjur menyederhana sekitar 2.1-2.5%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Dis - Firma-firma penyelidikan menjangkakan inflasi akan lebih menyederhana pada 2022 di sebalik peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada November dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga makanan.

 

IHP yang mengukur inflasi utama mencatat peningkatan 3.3% kepada 124.0 pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu, menjadi kenaikan untuk tempoh 9 bulan berturut-turut.

 

Kadar inflasi lebih tinggi disebabkan peningkatan permintaan seiring dengan pembukaan semula ekonomi domestik dan global juga mendorong harga lebih tinggi.

 

Dalam nota kajian, Hong Leong Investment Bank Research berkata, meskipun ia mengekalkan unjuran IHP pada 2% untuk 2022, tetapi terdapat risiko kenaikan terhadap tekanan inflasi.

 

Katanya, dalam tempoh terdekat, harga makanan mungkin terus meningkat disebabkan kenaikan harga import, kekurangan tenaga buruh, banjir teruk yang boleh menjejaskan pengeluaran dan perkhidmatan pengangkutan di Malaysia yang berdepan permintaan bermusim yang kukuh. 

 

"Namun begitu, memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) bukanlah bank pusat yang menyasarkan inflasi, kami mengekalkan jangkaan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) akan dinaikkan 25 mata asas pada suku keempat tahun hadapan," jelasnya. 

 

Dalam laporan IHP November 2021 yang diterbitkan Selasa lalu, Jabatan Perangkaan berkata, inflasi dijangka terus meningkat kesan daripada harga global bahan api, makanan dan bahan berkaitan pembinaan seperti besi. 

 

Bagaimanapun, inflasi dijangka lebih stabil dengan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) untuk 12 item makanan yang berkuat kuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021.

 

Bagi tempoh bulan dikaji, peningkatan IHP pada November dipengaruhi oleh kenaikan pelbagai barangan terutamanya bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, Pengangkutan dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain.

 

Sementara itu, MIDF Research berkata, Disember 2021 mungkin melihat satu lagi pertumbuhan harga melebihi paras 3% dan menjangkakan kadar inflasi utama akan kekal tinggi pada bulan terakhir tahun ini.

 

"Dengan data terkini, kami menjangkakan kadar inflasi bagi 2021 akan berlegar pada purata 2.5%, lebih tinggi berbanding unjuran kami, 2.3%," tambahnya.

 

Namun, menurutnya, inflasi diunjur pada purata 2.1% pada tahun hadapan memandangkan kekangan rantaian bekalan global akan berkurangan dan harga komoditi kembali normal menjelang pertengahan 2022.

 

"Selain itu, dasar monetari yang semakin ketat dijangka berlaku tahun depan dengan pemulihan dalam permintaan domestik dan pasaran buruh terus berjalan lancar.

 

"Sekiranya inflasi meningkat, kami percaya kerajaan mempunyai langkah fiskal yang mencukupi untuk membendung inflasi, terutama melalui pendekatan subsidinya," katanya.

 

Kenanga Research pula berkata, harga makanan dijangka meningkat seiring dengan tempoh musim perayaan dan berkemungkinan terjejas akibat banjir teruk di Lembah Klang dan negeri lain.

 

"Kenaikan harga makanan global seperti yang dicerminkan dalam Indeks Harga Makanan Organisasi Makanan dan Pertanian terkini (27.3% tahun ke tahun) dan harga bahan api di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan pasca pandemik akan menambah tekanan inflasi dalam ekonomi domestik.

 

"Namun begitu, kami terus kekal berhati-hati dalam situasi kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penularan varian Omicron," katanya.

 

Firma itu menjangkakan inflasi utama pada tahun ini kekal pada 2.5% sebelum ia diunjur menyederhana kepada 2.4% pada 2022. - DagangNews.com