Pelikuidasi Serba Dinamik adakan mesyuarat penyumbang pada 10 Oktober ini | DagangNews Skip to main content

Pelikuidasi Serba Dinamik adakan mesyuarat penyumbang pada 10 Oktober ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - Pelikuidasi Serba Dinamik Holdings Berhad menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh mesyuarat penyumbang untuk menyediakan kemas kini status pembubaran syarikat dan mempertimbangkan pelantikan Jawatankuasa Pemeriksaan (COI).

 

Penyumbang merupakan entiti yang bertanggungjawab membantu menambah aset syarikat yang sedang digulung.

 

Victor Saw Seng Kee, dari PriceWaterhouseCoopers Advisory Sdn Bhd (PWC), secara rasmi dilantik sebagai pelikuidasi oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Januari, selepas mahkamah membenarkan petisyen penggulungan Serba Dinamik dan tiga syarikatnya.

 

Serba Dinamik mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini untuk membenarkan petisyen penggulungan

 

Syarikat itu merayu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad terhadap penyahsenaraiannya, yang pada asalnya dijadualkan pada 28 Ogos, selepas ia gagal mendapatkan lanjutan tarikh akhir untuk mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

 

Kumpulan itu jatuh dalam status Nota Amalan 17 (PN17) pada 6 Jan 2022 dan dagangan sekuritinya di Bursa Malaysia digantung sejak Disember 2022 sehingga diberitahu kelak, kerana gagal menyerahkan laporan tahunan 2022.

 

Ia jatuh ke dalam PN17 selepas juruaudit luarnya menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.

 

Serba Dinamik telah dikompaun oleh Suruhanjaya Sekuriti tahun lepas kerana mengemukakan maklumat palsu. 

 

Kerugian bersih kumpulan itu meningkat kepada RM1.3 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY2023), daripada RM1.09 bilion tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu susut sebanyak 70% kepada RM403.23 juta berbanding RM1.35 billion pada tahun sebelumnya.- DagangNews.com