Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Peniaga mikro yang layak dan masih belum menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) diingatkan agar segera membuat permohonan bantuan berkenaan selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2020.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) berkata, permohonan bantuan kerajaan secara one-off berjumlah RM3,000 itu boleh dibuat secara dalam talian.
"Di bawah Kerangka Insiatif Tambahan Khas, KITA PRIHATIN, kerajaan telah bersetuju untuk membuka semula permohonan GKP mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 dan bayaran dijangka akan dibuat mulai 25 November 2020.
"Permohonan bantuan kerajaan secara one-off berjumlah RM3,000 ini boleh dibuat secara dalam talian di https://gkp.hasil.gov.my/," jelas LHDNM dalam satu kenyataan hari ini.
GKP telah diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pakej PRIHATIN PKS tambahan untuk membantu peniaga-peniaga mikro yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
Permohonan GKP pada sebelum ini telah memanfaatkan seramai 545,000 peniaga mikro seluruh negara dengan nilai sebanyak RM1.63 bilion.
Tambah LNDNM, keputusan permohonan itu boleh disemak bermula 15 November 2020.
"Layari portal GKP di https://gkp.hasil.gov.my/ untuk memuat turun syarat permohonan dan soalan lazim (FAQ) berkaitan bantuan khas ini.
"Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDNM melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000/603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM," jelas LHDNM lagi. - DagangNews.com