Pelupusan bangunan Quill 5 lonjak untung bersih Sentral REIT 18.7% pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Pelupusan bangunan Quill 5 lonjak untung bersih Sentral REIT 18.7% pada suku kedua

BANGUNAN Quill 3 yang terletak di Cyberjaya. - Sekadar gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Langkah Sentral REIT untuk melupuskan bangunan Quill 5 menjadi salah satu faktor yang melonjakkan keuntungan bersih syarikat amanah pelaburan itu sebanyak 18.7% pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21). 

 

Menurut pengurus Sentral REIT, Sentral REIT Management Sdn. Bhd. (SRM) yang sebelum ini dikenali sebagai MRCB Quill Management Sdn. Bhd., perbelanjaan operasi dan kewangan yang lebih rendah turut menyumbang kepada keuntungan Sentral REIT yang menokok kepada RM22.6 juta berbanding RM19.1 juta yang dicatatkan setahun lalu.

 

Susulan itu, Sentral REIT mengisytiharkan agihan setiap unit (DPU) pada kadar 3.43 sen dengan jumlah agihan pendapatan bernilai RM36.8 juta pada separuh pertama FY21 (1HFY21).

 

DPU itu mencerminkan kadar hasil sebanyak 7.6% berdasarkan harga penutupan Sentral REIT pada kadar RM0.905 sesaham setakat 30 Jun 2021. 

 

Memandangkan Sentral REIT membayar agihan itu pada setiap setengah tahun, agihan DPU itu dijangka dibuat pada 20 September 2021.

 

Walau bagaimanapun, bagi tempoh sama, Sentral REIT mencatatkan hasil kasar dan pendapatan hartanah yang lebih rendah, masing-masing menyusut -7.4% kepada RM37.6 juta dan -7.8% kepada RM29.0 juta. 

 

Pengerusi SRM, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, sektor hartanah komersial Malaysia terus terjejas akibat COVID-19. 

 

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan mengehadkan aktiviti ekonomi dan tidak dinafikan menyebabkan gangguan kepada perniagaan penyewa kami. 

 

“Kami memuji usaha berterusan kerajaan dalam mempercepatkan program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dalam komuniti kita. 

 

“Mencapai sasaran ini adalah penting untuk membolehkan ekonomi dibuka semula dengan selamat dan sepenuhnya, walaupun perlu patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam makluman SRM di Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SRM, Yong Su-Lin percaya prestasi stabil Sentral REIT bagi suku tahun berkenaan disokong oleh portfolio penghunian sebanyak 91.7% yang dicatatkan setakat 30 Jun 2021. 

 

Dari segi pembaharuan pajakan, Sentral REIT menyaksikan kira-kira 440,000 kaki persegi atau 22% daripada jumlah kawasan bersih yang disewakan, bakal berakhir pada 2021 dengan sebahagian besarnya dijangka tamat pada 2H21.

 

Sementara, sekitar 56,000 kaki persegi atau 73% pajakan yang sepatutnya berakhir pada 1H21 berjaya diperbaharui semula, jelas Su-Lin. - DagangNews.com