Pemaju perumahan dibenar beroperasi serta-merta | DagangNews Skip to main content

Pemaju perumahan dibenar beroperasi serta-merta

Perumahan rakyat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pemaju perumahan dibenarkan beroperasi serta-merta dalam tempoh Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang memaklumkan perkara itu berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lepas.

 

Jelas KPKT, kebenaran itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif serta sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1996 (Akta 118).

 

“Di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong (vacant possession) dan kunci rumah.

 

"Aktiviti lain yang dibenarkan beroperasi adalah  kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan (defect liability period); dan kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4,” jelas KPKT seperti dilapor Bernama.

 

Mengulas lanjut, KPKT memberitahu, di bawah Fasa 2 PPN pula, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, agen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit hartanah subsale.

 

Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk pada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini sektor tersebut yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT https://www.kpkt.gov.my.

 

Pematuhan tersebut adalah termasuk SOP lain seperti SOP pembinaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya di www.cidb.gov.my dan SOP am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan di www.mkn.gov.my  bagi mengekang penularan wabak COVID-19. - DagangNews.com