Pemaju Residensi Hektar Gombak hadapi masalah kewangan - KPKT | DagangNews Skip to main content

Pemaju Residensi Hektar Gombak hadapi masalah kewangan - KPKT

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui pemaju Residensi Hektar Gombak mengalami masalah kewangan sekali gus menyebabkan projek kediaman itu tergendala sehingga kini.

 

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, dalam kes itu, pihak jawatankuasa bertindak KPKT telah mengadakan pertemuan dengan pihak pemaju, pembeli dan institusi kewangan bagi mengadakan perbincangan dan 'turun padang' ke tapak projek tersebut.

 

"Pendirian daripada kerajaan adalah pemaju wajib menyelesaikan atau menyiapkan sebarang kemajuan perumahan.

 

"Namun, memang terdapat kekangan yang agak jelas bahawa dari segi kekuatan kewangan dari pihak pemaju ada keterbatasan," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat semalam.

 

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung kaedah digunakan kerajaan bagi menyelesaikan isu projek perumahan dikategorikan sebagai projek sakit atau terbengkalai.

 

Pada 20 Julai lalu, DagangNews melaporkan seramai 2,400 pembeli kediaman Residensi Hektar Gombak yang tidak siap-siap merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membantu mereka menyelesaikan kemelut  'projek perumahan sakit' tersebut yang kini sudah berlarutan sejak lima tahun lepas.

 

Sementara itu, Akmal berkata, dana jaminan khas yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini mampu membantu memulihkan projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara.

 

Katanya, keseluruhan kriteria bagi penyaluran dana tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sejurus Belanjawan 2024 diluluskan kelak.

 

 

kpkt
Zahir Hassan (kiri) ketika menanyakan soalan kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir berhubung isu Residensi Hektar di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2023. - Gambar Facebook Zahir Hassan

 

 

"Antara kriteria itu membabitkan projek rumah mampu milik bernilai RM300,000 ke bawah, selain tahap pemajuan projek berkenaan sudah melepasi sekurang-kurangnya 80%.

 

 

kpkt

 

 

"Kita juga perlu melihat program perumahan terletak di bawah kerajaan atau pihak berkuasa negeri yang sebenarnya bertujuan menyediakan rumah mampu milik tetapi menghadapi risiko projek sakit," katanya. - DagangNews.com