Pemasangan panel solar bantu syarikat jimat kira-kira 25% bil elektrik | DagangNews Skip to main content

Pemasangan panel solar bantu syarikat jimat kira-kira 25% bil elektrik

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Langkah pemasangan panel solar fotovoltan  (PV) pada hartanah komersial atau industri dapat membantu perniagaan menikmati sekurang-kurangnya 25% penjimatan kos atau bil elektrik.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, jumlah penjimatan itu dapat diterjemah kepada 3-5 tahun tempoh purata bayaran balik jumlah pelaburan perniagaan.

 

“Isi rumah hartanah kediaman bertanah misalnya dapat menikmati penjimatan bil elektrik bulanan sebanyak 30-50%.

 

“Syarikat dan individu dapat menjimatkan wang apabila berupaya mengurangkan jejak (pelepasan) karbon masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucaptama webinar bertajuk ‘Solar Power As A Renewable Source Of Energy In Malaysia’ di sini, lapor Bernama.

 

Ng berkata, tenaga solar juga muncul sebagai sumber sumber tenaga boleh diperbaharui yang lebih berpatutan, mudah diakses dan boleh dipercayai di Asia Tenggara dengan kos awal bagi mendapatkan sistem solar itu susut hampir 70% bagi tempoh 2010 hingga 2020.

 

Malah, UOB turut melancarkan program U-Solar bagi membantu  pelanggan menangani kebimbangan berkaitan aspek pemasangan dan pengoperasian sistem tenaga solar di rumah, pejabat dan kilang.

 

 

Ng Wei Wei
Ng Wei Wei

 

 

Menurutnya, program tersebut berjaya membantu pelanggan terbabit menjana 32,000 megawatt jam dalam tenaga solar selain menyumbang kepada pengurangan 21.4 tan karbon dioksida di negara ini atau menyamai tindakan mengeluarkan 4,650 kereta daripada jalan raya setahun.

 

“Kami menjangkakan permintaan terhadap penyelesaian U-Solar ini akan meningkat berikutan pertambahan minat ke atas tenaga solar, terutama sektor komersial, industri dan kediaman,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata usaha Asia Tenggara beralih kepada ekonomi hijau dijangka mewujudkan peluang ekonomi dianggarkan bernilai  AS$1 trilion (RM4.23 trilion) di rantau berkenaan menjelang 2030.

 

Sehubungan itu, katanya, UOB komited untuk memainkan peranan selain menyasarkan untuk mewujudkan portfolio kewangan mampan sebanyak AS$15 bilion menjelang 2023 bagi memanfaatkan permintaan tersebut. Setakat Jun 2021, bank tersebut telah berjaya mencapai sejumlah AS$13 bilion.

 

Menurut Ng, sejajar dengan kepentingan aspek kemampanan yang melangkaui sasaran tradisional mencatat keuntungan, kalangan syarikat perlu bertindak menyepadukan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi perniagaan untuk kekal berdaya saing bagi jangka panjang.

 

“Tenaga solar mempunyai masa depan yang cerah. Sebarang usaha pelaburan dalam tenaga bersih dan boleh diperbaharui seperti solar adalah antara kaedah untuk mengurangkan jejak karbon perniagaan,” katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan juga memberi dorongan ketara bagi meningkatkan sasaran kapasiti gabungan negara negara kepada 31% menjelang 2025 dan seterusnya 40% menjelang 2035 dengan solar menjadi penyumbang utama. - DagangNews.com