Pembahagian 1:4 saham Tasco disemak kepada RM1.14 | DagangNews Skip to main content

Pembahagian 1:4 saham Tasco disemak kepada RM1.14

 Tasco Berhad (Tasco)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Cadangan pembahagian setiap saham biasa Tasco Berhad (Tasco) kepada 4 bahagian (1:4) disemak kepada harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.14.

 

MIDF Research berkata, nilai itu adalah lebih rendah berbanding dengan harga sesaham biasa iaitu RM4.57.

 

"Setelah persetujuan dan pelaksanaan pembahagian saham selesai, harga sasaran kami akan disemak kepada RM1.14 sesaham," jelas MIDF Research.

 

Tasco mencadangkan untuk melakukan pembahagian saham syarikat iaitu pembahagian setiap saham biasa kepada empat bahagian (1:4).

 

Secara asasnya, jumlah saham kumpulan yang sedia ada sebanyak 200.0 juta akan meningkat kepada 800.0 juta saham.

 

Cadangan tersebut dibuat dengan rasional untuk memberi kelebihan kepada pemegang saham yang ada dengan meningkatkan penyertaan ekuiti dari segi jumlah saham yang dipegang di samping mengekalkan peratusan pegangan saham ekuiti.

 

Selain itu, ia turut mendorong kecairan perdagangan dan mendorong penyertaan kumpulan pelabur baharu yang lebih besar.

 

Sekiranya cadangan tersebut diluluskan, proses tersebut dijangka selesai pada akhir suku pertama tahun kewangan semasa 2021.

 

Dalam laporan pendapatan syarikat, Tasco meraih RM14.1 juta pendapatan bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2021 iaitu dengan peningkatan 221.0% berbanding tahun lalu.

 

Jumlah tersebut sekali gus menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2021 (9MFY21) berjumlah RM30 juta.

 

Mengulas berkaitan prestasi tersebut, MIDF Research berkata, syarikat tersebut menunjukkan prestasi cemerlang dan sejajar dengan ramalan pertumbuhan yang dibuat MIDF Research.

 

"Tasco telah menunjukkan pertumbuhan yang belum pernah diraih sebelum ini meskipun di tengah-tengah penularan pandemik.

 

"Kami menjangkakan kumpulan ini akan terus menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh suku keempat tahun kewangan 2021 sekali gus memenuhi anggaran pendapatan tahun kewangan 2021," tambah MIDF Research. - DagangNews.com