KUALA LUMPUR 29 Ogos - Kerajaan akan melaksanakan program dan pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara sebagai langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerajaan meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat (MW) bagi sumber solar.
Katanya, kuota baharu ini akan diagihkan untuk pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan.
"Selain itu, untuk penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar, pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau.
"Ia juga merangkumi penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya (VPPA), mulai suku keempat 2022, dengan tawaran kuota
600MW," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Kelima 2022, hari ini.
Turut hadir Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui (IRENA), Francesco La Camera.
Persidangan itu yang bertemakan 'Memperkasakan Peralihan Tenaga' membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari, untuk berbincang dan memahami
strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.
Menurut Perdana Menteri, dengan persetujuan itu, kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara.
Katanya kerajaan akan turut melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.
“Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70% pelepasan gas rumah kaca,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.
Sehubungan itu, katanya Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku keempat 2022 untuk memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn Bhd akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara.
“Penglibatan syarikat milik kerajaan (GLC) seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara,” tegas beliau. -DagangNews.com