Pembatalan tempahan kenderaan selepas tamat tempoh pengecualian SST dijangka minimum | DagangNews Skip to main content

Pembatalan tempahan kenderaan selepas tamat tempoh pengecualian SST dijangka minimum

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kenanga Research menjangkakan pembatalan tempahan kenderaan adalah minimun selepas pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tamat pada 30 Jun 2022.

 

Firma itu berkata, meskipun tempoh pengecualian itu tamat pada hujung bulan ini, namun kerajaan masih memberi kelonggaran supaya pendaftaran kenderaan bagi tempahan yang tertunggak dibuat sehingga 31 Mac 2023 bagi membolehkan pelanggan menikmati pengecualian yang sama.

 

Katanya, sehingga kini tempahan tertunggak yang dikongsikan Kementerian Kewangan adalah sebanyak 264,000 unit bersaman tunggakan penghantaraan antara empat ke lima bulan berpunca daripada gangguan rantaian bekalan.

 

"Ini juga memberi jaminan kepada pembuat kereta untuk mempercepatkan tahap pengeluaran mereka dan melindungi margin mereka jika terdapat keperluan untuk menaikkan harga kereta memandangkan peningkatan dalam kos alat ganti kenderaan (harga kereta akhir ditunjukkan dalam invois akhir, bukan semasa tempahan)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Pengecualian SST kekal berakhir 30 Jun 2022, tempoh pendaftaran JPJ dilanjutkan ke 31 Mac 2023

 

Terdahulu, kerajaan mengambil keputusan mengekalkan tempoh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan (SST) pada30 Jun 2022 namun melanjutkan tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 31 Mac 2023.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah  (midpoint solution) bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

 

Firma itu berkata, bagi sesetengah model kenderaan, pemulihan pengeluaran adalah terhad kerana masalah kekurangan cip semikonduktor global masih berlaku.

 

Katanya, pembuat kenderaan akan memberi keutamaan terhadap penggunaan bekalan cip itu kepada model kenderaan terlaris seperti trak dan SUV serta kenderaan mewah.

 

"Kami menaikkan penarafan daripada 'neutral' kepada 'overweight' didorong pembukaan semula sektor ekonomi serta pemulihan yang positif dalam jualan kenderaan dan ia terbukti daripada jumlah peningkatan tempahan untuk model popular.

 

"Selain itu, ia juga didorong oleh model baharu yang dilancarkan pada 2022 yang menawarkan margin keuntungan yang lebih baik," katanya. - DagangNews.com