Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pembayaran kali kedua kemudahan pengeluaran i-Citra akan dibuat bermula 1 September 2021.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu pengumuman di Facebook rasminya memberitahu, pengkreditan amaun ke akaun bank ahli adalah dalam tempoh satu hingga tiga hari bekerja dan bergantung kepada prosedur bank.
KWSP turut menyarankan agar ahli membuat semakan status bayaran terkini melalui i-Akaun (Ahli).
Bagi sebarang pertanyaan pula, ahli boleh menghubungi hotline i-Citra di talian 03-89224848.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Citra pada 28 Jun lalu sekali gus menggantikan i-Sinar.
Pengeluaran tersebut diperkenalkan untuk memberi kemudahan kewangan tambahan kepada ahli yang terkesan akibat PKP bagi memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan hidup.
i-Citra menawarkan kelayakan pengeluaran hingga maksimum RM5,000 dan akan dibuat secara bulanan dalam tempoh lima bulan.
Bayaran yang ditetapkan adalah RM1,000 sebulan atau tertakluk kepada jumlah baki simpanan.
Bagi rekod, pembayaran pertama i-Citra telah dibuat secara berperingkat bermula pada 2 Ogos 2021. - DagangNews.com