Pembeli perlu tunggu sehingga selepas Mac 2023 'tayang' kereta baharu | DagangNews Skip to main content

Pembeli perlu tunggu sehingga selepas Mac 2023 'tayang' kereta baharu

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Okt - Jualan kenderaan tidak menyaksikan penurunan yang mendadak meskipun pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sudah pun berakhir 30 Jun lalu. 

 

Ini memandangkan senarai menunggu yang panjang dan kadar tempahan berdaya tahan, penghantaran kereta berkemungkinan melimpah selepas Mac 2023, sekali gus mengurangkan kejatuhan jualan dalam industri, demikian menurut penganalisis AmInvestment Bank, Muhammad Afif Zulkaplly.

 

"Keputusan pengedar atau pembuat kereta untuk menangguhkan pelancaran baharu mereka juga adalah petanda yang baik kerana ia akan membantu memberikan rangsangan tambahan kepada jualan tahun depan.

 

"Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 600,000 unit kerana jualan akan kembali normal kepada tahap sebelum pandemik dengan berakhirnya pengecualian cukai," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau mengekalkan pandangan 'overweigt' terhadap sektor automotif dengan pilihan utamanya ialah saham Bermaz Auto Bhd. dan MBM Resources Bhd.

 

Namun, risiko kepada penurunan penarafan bergantung kepada peralihan mendadak dalam sentimen pengguna disebabkan kebimbangan kemelesetan beserta kesan inflasi yang berterusan dan peningkatan kadar faedah.

 

Data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jualan kenderaan di Malaysia meningkat kepada 67,659 unit pada September 2022 berbanding 44,227 unit pada bulan sama tahun lalu.

 

Jualan kenderaan penumpang melonjak hampir separuh kepada 60,060 unit pada September 2022 daripada 38,258 unit pada September 2021, manakala jualan kenderaan komersial naik kepada 7,599 unit daripada 5,969 unit.

 

Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, jualan turut tinggi kepada 516,798 unit berbanding 318,827 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Jumlah kenderaan penumpang naik kepada 459,090 unit berbanding 282,881 unit pada tempoh sama 2021 dan kenderaan komersial sebanyak 57,708 unit berbanding 35,946 unit tempoh sama 2021.

 

Sementara itu, penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang berkata, jualan kenderaan masih kekal rendah sekitar 20% hingga 30% berbanding purata separuh pertama 2022, meskipun tempahan kenderaan baharu kembali pulih secara beransur-ansur selepas turun dengan ketara pada Julai. 

 

"Kami percaya tempahan kereta baharu pada 2023 berkemungkinan kekal lemah, kerana pengguna menangguhkan pembelian yang besar seperti kereta di tengah-tengah masalah makroekonomi.

 

"Malah, kami menjangkakan untuk melihat peningkatan dalam kos pinjaman, kos sara hidup dan harga kereta pada tahun hadapan," katanya.

 

Namun, beliau mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif berikutan kebimbangan jualan kenderaan yang lebih perlahan pada 2023 walaupun menjangkakan hasil yang lebih kukuh pada separuh kedua 2022.

 

Oleh itu, unjuran TIV bagi 2022 juga dikekalkan pada 650,000 unit. Saham pilihan utamanya bagi sektor itu ialah Sime Darby Bhd. dan Bermaz Auto. - DagangNews.com