Pembelian tiga kapal misi pesisir (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Turkiye mencatat sejarah baharu dalam kerjasama industri pertahanan maritim antara Kuala Lumpur-Ankara.
Malaysia dilihat keluar dari lingkungan negara pembekal tradisional kelengkapan tentera laut apabila beralih kepada Turkiye sebagai pilihan baharu.
TLDM menjadi pengguna ketiga korvet kelas Ada selepas Pakistan yang membeli 4 buah kapal ini, manakala Ukraine 2 buah.
Sebelum ini kapal-kapal TLDM dibeli dari negara Eropah seperti United Kingdom, Perancis, Jerman dan Itali selain Korea Selatan serta China.
Kapal tempur pesisir (LCS) yang berdepan kelewatan dan sedang disiapkan juga merupakan model kapal buatan Perancis, Gowind cuma dibina secara usahasama di Malaysia.
Justeru, apabila Kementerian Pertahanan (Mindef) memilih syarikat STM Turkiye untuk menyiapkan tiga buah LMS memberi tanda bahawa ada perubahan baharu dalam kecenderungan tentang pemilihan aset-aset pada masa akan datang.
Menjadikan ia lain daripada kebiasaan apabila ini pertama kali industri pertahanan maritim negara Islam membekalkan kapal perang kepada Malaysia.
Sebagai tentera kedua kedua terbesar dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), hampir sebahagian besar kelengkapan Angkatan Bersenjata Turkiye dibekalkan industri tempatan.
Turkiye juga merupakan negara Islam yang memiliki angkatan tentera terkuat dan paling moden di dunia.
Justeru, ini merupakan kayu pengukur pada tahap kebolehan industri pertahanan Türkiye di pentas global.
STM sendiri membekalkan pelbagai jenis peralatan dan kelengkapan kepada Angkatan Bersenjata Turkiye.
Bagi industri maritim Türkiye, memenangi kontrak Malaysia merupakan satu pencapaian membanggakan apabila dapat menembusi pasaran di Asia Tenggara.
Dengan keperluan kapal LMS TLDM sebanyak 18 buah kesemuanya, tidak mustahil Turkiye akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan lagi kontrak pada masa hadapan.
Ketika ini, nilai dagangan antara Malaysia-Turkiye berjumlah AS$4.46 bilion, yang mana angka ini dijangka meningkat pada masa akan datang.
Sudah pasti selepas ini Türkiye ingin meneroka peluang lebih besar dengan negara serantau misalnya Indonesia, Brunei dan Filipina.
Pembelian kapal LMS ini meletakkan Turkiye pada kedudukan baik dalam saingan industri pertahanan di Malaysia.
Imbas kembali, kerjasama industri pertahanan Malaysia-Turkiye terjalin lebih 23 tahun lalu menerusi perolehan kenderaan tempur ACV-300 Adnan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) oleh syarikat negara itu, FNSS Savunma Sistemleri (FNSS Defence System).
FNSS telah bekerjasama dengan firma pertahanan terkemuka negara, DRB Defence Technology Sdn. Bhd. (DEFTECH) untuk menguji dan memasang kenderaan tersebut di kilang DEFTECH di Pekan, Pahang.
Perolehan sebanyak 211 buah kenderaan perisai ini bagi melengkapi batalion mekanise Tentera Darat dengan nilai kontrak kepada DEFTECH RM1.1 bilion.
Pada Februari 2011, DEFTECH dianugerahkan kontrak bagi membina 257 buah kenderaan perisai AV8 Gempita yang dibina dengan kerjasama FNSS.
Syarikat pertahanan Turkiye telah menjadi pemain global menerusi sistem dan produk pertahanan selain terbuka untuk menjalin hubungan jangka panjang. - DagangNews.com