KUALA LUMPUR 11 Dis - Koridor keselamatan negara di bahagian Sarawak terus diperkasakan menerusi penempatan sebuah sistem radar pertahanan udara jarak jauh tidak lama lagi.
Penempatan stesen pengawasan radar tersebut di Bintulu bagi memantau kedaulatan ruang udara di pesisiran perairan dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Ini akan meningkatkan keberkesanan pengawasan sehingga di Laut China Selatan untuk mengesan sebarang pencerobohan.
Sebaik diterima nanti, radar jenis GM400 buatan Thales Group, Perancis ini melengkapkan sistem pengawasan udara sedia ada negara di jajaran Malaysia Timur.
Ia akan dikendalikan oleh skuadron pertahanan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Radar GM400 berfungsi menjangkaui 500 kilometer (km) dan boleh dioperasikan dalam mode tertentu.
Firma Thales pada Mei lalu telah menerima surat hasrat daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi perolehan sebuah sistem radar jarak jauh bernilai RM170.6 juta.
Ia melibatkan kelengkapan sokongan, latihan serta infrastruktur bagi keseluruhan kompleks radar berkenaan.
Susulan itu, majlis menandatangani surat terima antara Mindef dan Thales telah dimeterai baru-baru ini sempena lawatan Menteri Pertahanan Perancis ke Malaysia, Sébastian Lecornu.
Perolehan ini juga meningkatkan lagi kerjasama pertahanan Malaysia dan Perancis yang juga merupakan antara pembekal utama sistem persenjataan kepada Angkatan Tentera Malaysia.
TUDM ketika ini mengoperasikan sistem radar pengawasan Thales GM403 di Kompleks Radar Gunung Ngili, Kota Samarahan.
Sebuah lagi kompleks stesen radar TUDM terletak di Labuan, Sabah yang dilengkapi dengan radar pengawasan jarak jauh Lockheed Martin AN/TPS-77.
Usaha untuk meningkatkan keselamatan di bahagian Sarawak giat dilakukan bagi menjamin kedaulatan negara serta keselamatan rakyat di kedua-dua wilayah itu.
Pada 2 November lalu, Mindef memaklumkan bahawa pmbinaan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia yang baharu iaitu Markas Wilayah Laut 4 di Samalaju, Bintulu akan dimulakan sejurus menerima surat rasmi daripada kerajaan negeri.
Bintulu adalah kawasan yang strategik serta berdekatan dengan kawasan Lapangan Gas Kasawari dan Beting Patinggi Ali di ZEE Laut China Selatan.
Mindef juga memutuskan untuk membina markas TUDM di kawasan lapangan terbang Bintulu.
Selain itu, turut dirancang ialah pembinaan Markas Briged Ke-31 Infantri Malaysia, Rejimen Sempadan (RS) di Bintulu serta pembinaan pos kawalan sempadan.- DagangNews.com