SINGAPURA 15 Sept. - Jumlah pemberhentian pekerja di Singapura meningkat kepada 11,350 pada separuh pertama 2020.
Kementerian Tenaga Kerja Singapura (MOM) berkata, jumlah tersebut juga adalah lebih tinggi berbanding tempoh SARS.
"Jumlah pemberhentian pekerja pada suku kedua meningkat dua kali ganda kepada 8,130 berbanding suku pertama sebanyak 3,220.
"Jumlah pada suku kedua itu adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran awal iaitu 6,700 antara April dan Jun," jelas MOM dalam laporannya yang dikeluarkan semalam.
Tambah MOM, jumlah tersebut menjadikan angka keseluruhan pemberhentian pekerja pada separuh pertama 2020 adalah 11,350 yang lebih tinggi berbanding 10,120 yang dicatatkan dalam tempoh SARS.
Bagaimanapun, jumlah tersebut adalah masih rendah berbanding krisis kemelesetan lain.
Bilangan pekerja yang berkhidmat dalam tempoh singkat atau pemberhentian sementara pada suku kedua juga meningkat ke tahap tertinggi iaitu 81,720.
Jumlah tersebut belum pernah terjadi dan lebih teruk berbanding 4,190 pada suku pertama tahun yang sama.
Jelas MOM lagi, kadar pemberhentian pekerja tempatan adalah lebih rendah berbanding pekerja asing iaitu masing-masing pada kadar 4.9 orang per 1,000 pekerja tempatan dan 6.2 orang per 1,000 pekerja asing.
Dalam laporan yang sama, MOM memberitahu, peningkatan pemberhentian pekerja melibatkan lebih ramai pekerja dalam sektor perdagangan borong, pembuatan dan perkhidmatan kewangan.
Separuh daripada penduduk tempatan yang diberhentikan adalah mereka yang berada dalam sektor bukan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET).
"Pemberhentian pekerja dalam kalangan PMET tempatan meningkat mendadak pada suku kedua 2020.
"Pekerja bukan PMET juga lebih terdedah kepada risiko pemberhentian kerja berbanding PMET kerana industri tersebut lebih terjejas akibat COVID-19," tambah MOM. - DagangNews.com