Pembersihan banjir lima negeri capai 91 peratus selesai - PM | DagangNews Skip to main content

Pembersihan banjir lima negeri capai 91 peratus selesai - PM

Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir MTL 2021/2022 di Putrajaya hari ini.

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kerja-kerja pembersihan bagi lima buah negeri yang dilanda bencana banjir mencapai sebanyak 91 peratus selesai sejak semalam.

 

Lima negeri terbabit, Selangor mencapai 82 peratus, Kuala Lumpur (100 peratus), Negeri Sembilan (95 peratus), Pahang (77 peratus) dan Melaka (100 peratus) selesai pembersihan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan anggaran sebanyak 53,800 tan sisa banjir diurus menggunakan 2,730 jentera.

 

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022, hari ini.

 

Bersama beliau adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Tan Sri Acryl Sani; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Ruji Haji Ubi; dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Aminuddin Hassim.

 

Mesyuarat ini turut dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Pembangunan Negeri-Negeri serta Ketua-Ketua Jabatan.

 

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, dana sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada 32 pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan.

 

"Kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu melibatkan 32 PBT menerima sebanyak RM50 juta," katanya.

 

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dilaksanakan sejurus selepas tamat MTL bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara.

 

"Bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air mencadangkan peningkatan tahap perlindungan, kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran danpantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI," katanya.

 

Dalam pada itu, Ismail turut memaklumkan cadangan Jabatan Meteorologi Malaysia meliputi Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi Jabatan Pengairan dan Saliran.

 

"Contoh di Sri Muda, siren amaran telah dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk. Kerajaan akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko bagi mengarahkan penduduk berpindah.

 

"Sistem kamera litar tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air agar penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya," katanya.

 

Tambah Ismail, penambahbaikan turut melibatkan Ramalan Cuaca Berangka (NWP), komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam menerusi aktiviti latih amal banjir serta maklumat dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. 

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kementerian Kerja Raya melaporkan sebanyak 895 lokasi bencana dikesan sepanjang MTL 2021/2022 melibatkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan runtuh dan jambatan rosak.

 

"Inisiatif pemulihan melibatkan kos sebanyak RM967.2 juta," katanya.

 

Ismail berkata, sebanyak 802 lokasi selesai aktiviti pembersihan iaitu di Kedah 3 (8), Perak 17 (17), Selangor 134 (162), Negeri Sembilan 45 (62), Melaka 17 (22), Johor 6 (6), Pahang 533 (566), Terengganu 13 (14) dan Kelantan 34 (38). 

 

"Pembaikan kekal dijangka dilaksanakan bermula bulan ini dan selesai pada Jun tahun ini," katanya.

 

Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, kluster komunikasi strategik yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak MTL 2021/2022 bermula.

 

"Usaha dipergiatkan sejak jangkaan akan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal. 

 

"Strategi komunikasi melibatkan promosi hebahan amaran dan situasi semasa, hebahan bantuan-bantuan kerajaan, mengenalpasti isu berbangkit dan ditangani bersama pelbagai agensi serta usaha-usaha mengesan berita palsu dan segera menyiarkan penafian," katanya.

 

Menurut Perdana Menteri, platform yang digunakan adalah media massa, media sosial, saluran
Jabatan Penerangan, turun padang, advokasi, penerbitan dan usaha-usaha libat urus.

 

"Penyelarasan usaha mobilisasi anggota Perkhidmatan Awam membantu kerjakerja pembersihan dan kemanusiaan telah melibatkan tenaga kerja hampir separuh daripada penjawat awam persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia.

 

"Bagi mereka yang menerima bantuan Kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) dinasihatkan agar berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti 'scamming'," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana MTL 2021/2022 akan sentiasa dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa diperkemas dan berada pada tahap optimum. - DagangNews.com