Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang mungkin jadi projek seterusnya buat Kerjaya Prospek - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang mungkin jadi projek seterusnya buat Kerjaya Prospek - RHB IB

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang atau PIA .
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Mei - RHB Investment Bank tidak menolak kemungkinan Kerjaya Prospek Group Berhad (KPG) bersama dengan rakan kongsinya Samsung C&T menyasar untuk mendapatkan kontrak bagi kerja pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontrak tersebut dilaksanakan dalam tiga pakej melibatkan RM1.5 bilion dan ia berkemungkinan menjadi projek lain yang bakal diterima KPG di Pulau Pinang selepas mengumumkan menerima tawaran kerja lebih setengah bilion ringgit daripada Tanjung Pinang Development (TPD) semalam.

 

"Kami difahamkan bahawa rakan kongsi KPG iaitu Samsung C&T, menerusi sebuah konsortium dengan syarikat Taiwan, telah meraih kontrak bernilai AS$1.6 bilion untuk menjalankan kerja-kerja pembesaran bagi Lapangan Terbang Taiwan Taoyuan pada Mac 2021. 

 

"Peluang-peluang lain yang mungkin timbul termasuklah tawaran projek di Batu Kawan, memandangkan kumpulan ini juga telah menerima kerja-kerja berharga sekitar RM1.4 bilion (ditawarkan oleh Aspen Group) di kawasan tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelas RHB Investment, peluang lanjut ialah laluan tambahan Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah menyatakan hasratnya supaya laluan Komtar-Tanjung Bungah dapat dibina ketika fasa pembinaan LRT Pulau Pinang yang seterusnya. 

 

"Jika hal ini menjadi kenyataan, kami menjangkakan kesalinghubungan perjalanan yang lebih baik ke kawasan-kawasan berhampiran Seri Tanjung Pinang Fasa 2( STP2), khususnya Tanjung Tokong, kerana laluan LRT berkemungkinan melalui kawasan tersebut untuk disambungkan ke Tanjung Bungah," ujarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek raih kontrak RM567.7 juta tambak Seri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong di Pulau Pinang

 

Mengenai projek terbaharu daripada TPD, RHB Investment berkata, kerja bernilai RM567.7 juta itu merupakan kerja yang ke-17 yang diterima oleh KPG untuk pembinaan Pulau Andaman di bawah pembangunan STP2 di Pulau Pinang.

 

Kata firma penyelidikan itu, tawaran kerja ini diraih tepat pada waktunya kerana KPG telah mula membina struktur perlindungan pesisir pantai untuk Fasa 2B dan 2C STP2 pada Februari 2023 yang masih berjalan dan dijangka bakal tamat. 

 

"Dengan mengambil kira kerja ini dalam pertimbangan, KPG telah memperoleh kontrak bernilai RM2.4 bilion di bawah STP2. Mengikut anggaran kami, buku pesanan belum bayar terkini KPG akan mencecah sekitar RM4.8 bilion selepas menerima tawaran kerja baharu di bawah STP2 ini. 

 

"Hal ini bermakna perolehan akan dijana sepanjang empat tahun akan datang. Secara YTD, kumpulan ini telah memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM980 juta, yang merangkumi 65% daripada anggaran penambahan kerja kami untuk FY24 sebanyak RM1.5 bilion buat KPG. 

 

"Dalam jangka panjang, STP2 dapat memberikan aliran kerja yang berterusan untuk KPG sepanjang 5-7 tahun seterusnya, dengan projek-projek bernilai sekitar RM2 bilion," jelasnya.

 

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran (TP) mencecah RM2.15 sesaham.

 

"Tiada pindaan dibuat pada anggaran perolehan kami kerana kerja baharu yang diraih ini termasuk dalam andaian penambahan kerja FY24. Maka, TP kami yang diperoleh menerusi kaedah SOP MYR2.15 kekal (premium ESG 2%). 

 

"Kami tetap beranggapan penilaian pasaran KPG iaituP/E FY25F 13x tidak wajar, kerana saham ini diniagakan pada sekitar 14x semasa fasa menaik sektor pembinaan pada tahun 2017 sebelum syarikat ini mula menceburi kerja-kerja perindustrian. 

 

"Tawaran kerja baharu dalam bidang perindustrian (seperti kilang, gudang dan pusat data) mungkin bertindak sebagai faktor pemangkin untuk saham ini dinaikkan nilainya," katanya.- DagangNews.com