Pembinaan dua korvet tentera laut Filipina bermula, kapal akan diterima pada tahun 2025 | DagangNews Skip to main content

Pembinaan dua korvet tentera laut Filipina bermula, kapal akan diterima pada tahun 2025

Frigat kelas Jose Rizal buatan Hyundai milik Tentera Laut Filipina.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Nov - Dalam tempoh dua tahun lagi, Filipina bakal menerima dua kapal korvet terbaharu apabila proses pembinaannya telah pun dimulakan di Limbungan HD Hyundai Heavy Industries (HD Hyundai) di Korea Selatan.

 

Peletakan lunas korvet pertama jenis HDC-3100 itu telah pun dilakukan kelmarin manakala pada masa sama pemotongan keluli untuk kapal kedua pula dimulakan.

 

Mengikut perancangan, Tentera Laut Filipina akan menerima kapal-kapal ini menjelang tahun 2025.

 

Peletakan lunas merupakan salah satu fasa utama dalam proses pembinaan kapal yang mana blok pertama kapal dipasang bermaksud proses pembinaan kapal berada pada landasan yang betul.

 

Kapal

 

 

Kapal

 

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh HD Hyundai, korvet itu mempunyai berat 3,200 tan, 118.4 meter panjang, 14.9 meter lebar, kelajuan pelayaran 15 knot dan boleh belayar sejauh 4,500 batu nautika.

 

Ini lebih besar sedikit berbanding reka bentuk asal HDC-3100 iaitu kira-kira 3,100 tan, panjang 116 meter dan lebar 14.9 meter. 

 

Kelajuan dan jarak pelayaran kekal sama seperti sebelumnya.

 

HD Hyundai merupakan perintis industri pembinaan kapal tentera laut Korea bermula dengan pembangunan frigat kelas Ulsan yang pertama pada tahun 1975. 

 

Kapal

 

Kapal

 

Sehingga kini syarikat itu telah membina lima kapal pemusnah Aegis, tiga kapal pemusnah KDX-II, 12 frigat, enam korvet, sembilan kapal selam dan 31 kapal peronda.

 

Sebanyak 102 kapal pelbagai jenis pula telah dibina dan dihantar kepada pelanggan tentera laut dan pasukan pengawal pantai di seluruh dunia.

 

Jadi, pembinaan dua korvet Filipina ini tidak akan berdepan dengan risiko kelewatan seperti dialami Malaysia kerana reputasi HD Hyundai sebagai antara peneraju dalam industri pertahanan maritim.

 

Korvet yang dibina HD Hyundai untuk Tentera Laut Filipina ini adalah kapal perang yang canggih dan akan menjadi aset maritim paling moden dalam armada negara itu.

 

Kapal
Korvet HDC-3100 akan menjadi kapal perang tercanggih Filipina.

 

Kedua-dua kapal itu akan dilengkapi dengan peluru berpandu antikapal dan sistem persenjataan canggih seperti sistem pelancaran menegak dan sistem radar AESA. 

 

Filipina sebelum ini menganugerahkan kontrak kepada HD Hyundai untuk membekalkan 10 buah kapal tentera laut termasuk dua frigat.

 

Selain dua korvet yang sedang dibina ini, aset seterusnya ialah membina enam kapal peronda luar pesisir melalui program pemodenan yang dirangka.

 

HD Hyundai juga telah dianugerahkan kontrak perkhidmatan sokongan sepanjang hayat untuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dua buah frigat kelas Jose Rizal.- DagangNews.com