Pembinaan jajaran Seksyen 11 Lebuhraya WCE capai 99.33% - MB Perak | DagangNews Skip to main content

Pembinaan jajaran Seksyen 11 Lebuhraya WCE capai 99.33% - MB Perak

KUALA LUMPUR 28 Feb - Status kemajuan jajaran Seksyen 11 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Persimpangan Beruas - Persimpangan Taiping Selatan yang bersambung dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Persimpangan Changkat Jering telah mencapai 99.33% pembinaan.

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, laluan itu yang dijangka dibuka dalam masa terdekat sebelum Aidilfitri nanti akan melengkapkan keseluruhan jajaran WCE di Perak.

 

"Selain berfungsi sebagai lebuh raya alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan, WCE akan membuka koridor pembangunan barat di bahagian pesisiran pantai negeri Perak.

 

"Bagi menggunakan sepenuhnya potensi yang ada, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Jajaran WCE yang dipengerusikan oleh saya sendiri bagi merancang pembangunan di sepanjang jajaran lebuh raya ini dalam usaha untuk memaksimumkan limpahan ekonomi kepada rakyat Perak," katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) yang ingin tahu sama ada pihak kerajaan mempunyai perancangan pembangunan di sepanjang WCE Teluk Intan - Lekir.

 

Saarani berkata, bagi jajaran di Perak iaitu Seksyen 8 di Hutan Melintang - Teluk Intan, Seksyen 9 (Lekir - Changkat Cermin) dan Seksyen 10 (Changkat Cermin - Beruas) sebelum ini telah dibuka pada 2019.

 

Beliau berkata, terdapat cadangan pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan khususnya melibatkan lima daerah yang menerima kesan langsung daripada projek itu iaitu daerah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung serta Larut, Matang dan Selama.

 

 

MB Perak
Datuk Seri Saarani Mohamad (kanan) bersalaman dengan Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyndon Alfred Felix.

 

 

Menurutnya, antara pembangunan yang dirancang ialah pelbagai projek perumahan sedang dilaksanakan di Manjung seperti Rumah Perakku Lekir dan Sitiawan, MyBN Home Lekir, Pembangunan Bandar Baru Setia Awan Perdana dan Projek Perumahan MB Inc di Lekir yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 12,125 unit rumah.

 

Selain itu, beliau berkata, beberapa aktiviti menaik taraf dan penyelenggaraan kawasan tarikan pelancongan sedang giat dijalankan meliputi kawasan di sekitar Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang seperti menaik taraf Jeti Kelip-kelip Kampung Dew serta membaik pulih Makam Long Jaafar yang mempunyai nilai dan tarikan sejarah kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke Taiping.

 

 

wce

 

 

wce

 

 

Saarani berkata di Hilir Perak, pembangunan Pekan Kecil Sungai Durian bertujuan meningkatkan ekonomi penduduk setempat berikutan kedudukannya yang strategik meliputi pembinaan pusat perniagaan dan pelbagai kemudahan awam lain yang berpotensi tinggi untuk menjadikan Pekan Kecil Sungai Durian sebagai kawasan Rehat dan Rawat bagi pengguna laluan WCE.

 

Katanya, Projek Floating Market Teluk Intan pula bertujuan mempertingkatkan produk pelancongan di daerah itu khususnya di Mukim Sungai Durian, manakala projek Zon Akuakultur Daerah Hilir Perak akan merangkumi ternakan ikan sangkar yang sistematik dan moden, pewujudan restoran terapung serta penginapan terapung, lapor Bernama.

 

Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara Selangor dan Perak melibatkan projek pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang dan seterusnya menyambung jajarannya di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Manjung, Beruas sehinggalah Taiping.
 - DagangNews.com