Pembinaan Menara Jam Warisan Budi bermula, bakal jadi mercu tanda baharu UPM - alumni | DagangNews Skip to main content

Pembinaan Menara Jam Warisan Budi bermula, bakal jadi mercu tanda baharu UPM - alumni

Lakaran grafik Menara Jam Warisan Budi UPM - Gambar Facebook UPM Holdings Sdn Bhd
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kerja-kerja pembinaan projek Menara Jam Warisan Budi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang tertangguh hampir 16 tahun berjaya diselesaikan yang mana pembinaan awal sedang giat dijalankan.

 

Pusat Perhubungan Alumni UPM berkata, kos pembinaan yang menelan belanja hampir RM1.6 juta itu adalah sumbangan daripada pihak alumni pelbagai latar dan bidang.

 

"Kebersamaan para alumni ini telah merealisasikan projek yang telah tertangguh sekian lama dan akhirnya pada tahun tahun ini, projek Menara Jam Warisan Budi yang dilancarkan pada 2006 berjaya dibangunkan berhadapan bangunan pentadbiran utama UPM. 

 

"Ia bakal menjadi sebuah menara yang ikonik dan menjadi satu pusat sehenti untuk para pelajar UPM berkumpul, berbincang dan menjadi tumpuan pelajar pada hari konvokesyen," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Terdahulu, majlis penyerahan tapak pembinaan projek Menara Jam Warisan Budi, UPM berlangsung di Umai Café, Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG), baru-baru ini.

 

Simbolik penyerahan tugas pembinaan daripada Pengarah Pembangunan Aset UPM, Maznah Sahran kepada Pengarah Urusan Syarikat Fitrah Bitrade Sdn Bhd, iaitu kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan keseluruhan pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2023. 

 

Majlis yang penuh bersejarah bagi UPM ini turut disaksikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman dan Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud. 

 

 

upm
Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman (dua, kiri) ketika majlis penyerahan tapak pembinaan projek Menara Jam Warisan Budi UPM, baru-baru ini.

 

 

Sementara itu, Arba'ie berkata, pembinaan Menara Jam Warisan Budi ini penting kerana ia adalah satu interpretasi daripada seluruh alumni UPM dalam usaha menyatakan kebersamaan mereka dalam membawa nama UPM ke peringkat tertinggi sebagai sebuah universiti awam terbaik di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa. 

 

"Ini adalah simbolik kepada penyatuan para alumni UPM yang ingin menzahirkan bahawa mereka bersama-sama dengan universiti dalam pelbagai usaha dan hasrat untuk membangun anak bangsa. 

 

 

upm

 

 

"Menara yang menelan kos pembinaan yang besar ini menjadi satu tanda kejayaan yang luar biasa telah dizahirkan dan bakal dimanfaatkan oleh seluruh warga UPM terutamanya kepada pelajar UPM. 

 

 

UPM

 

 

"Pusat Perhubungan Alumni perlu terus siap siaga dalam menjadi sebuah entiti penghubung antara alumni dan universiti. Dengan kekuatan pelbagai aktiviti dan program yang ada, penglibatan alumni perlu lebih dipertingkatkan lagi agar ‘budaya menyumbang dengan seluhur budi’ itu terus dapat disemarakkan lagi," ujar beliau.

 

Lebih memberi makna lagi, majlis serah tapak ini juga berlangsung pada tarikh akhir perkhidmatan beliau yang telahpun bersara wajib pada 23 Ogos 2023.  - DagangNews.com