Pembinaan MRT3 pemangkin sektor pembinaan - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pembinaan MRT3 pemangkin sektor pembinaan - MIDF

MRT3

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 April - Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang mendapat 'lampu hijau' bagi meneruskan semula pembinaannya dijangka menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan negara.

 

MIDF Research berkata, berita baik berkaitan projek berkenaan mampu meningkatkan sentimen pasaran secara positif dalam aspek buku pesanan dan pemulihan pendapatan pemain industri pembinaan.

 

"Bagi pemain industri pembinaan di bawah seliaan kami, kami memilih Gamuda sebagai penerima faedah utama dengan anggapan MMC-Gamuda akan menjadi pelopor dalam merialisasikan perjanjian MRT3 sebagai kontraktor turnkey atau PDP bagi kerja-kerja terowong seiring pengalaman mereka dalam projek MRT1 dan MRT2.

 

"Penerima manfaat lain yang pernah terlibat dalam projek MRT2 turut tersenarai sebagai pemenang yang berpotensi dalam projek MRT3 seperti IJM Corp, SunCon, WCT, Gabungan AQRS, MRCB dan Malayan Cement," jelas MIDF Research.

 

Hujung minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mengumumkan bahawa kabinet telah memberi kelulusan bagi meneruskan projek MRT3 yang merupakan salah satu projek infrastruktur awam utama bagi sektor pembinaan domestik.

 

MRT3 dirancang untuk menyediakan rangkaian perhubungan sistem pengangkutan awam bersepadu di Lembah Klang menjelang 2025.

 

Sambungan semula projek berkenaan memberi perkembangan positif bagi sektor berkenaan.

 

Tambah MIDF Research, pihaknya percaya projek tersebut berpotensi memulakan pembinaan pada separuh kedua tahun kewangan 2021 sejajar dengan tinjauan pihaknya.

 

Katanya, MRT Corp telah diberi masa selama tiga bulan bagi menjalankan kajian termasuk kos projek yang dianggarkan sekitar RM23.0 bilion daripada nilai projek sebelumnya iaitu RM45.0 bilion.

 

MIDF Research memberitahu, penjimatan kos mampu dicapai dengan mengurangkan bilangan stesen dan jajaran bawah tanah.

 

Bagi projek MRT2, kos pembinaan dapat dikurangkan sebanyak 22.4% kepada RM30.5 bilion serta diubah menjadi model turnkey daripada model PDP. - DagangNews.com