Pembinaan Projek Kereta Api Trans Borneo dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Pembinaan Projek Kereta Api Trans Borneo dijangka tidak berlaku dalam masa terdekat - RHB Investment

Brunergy Utama Sdn Bhd mengumumkan Projek Kereta Api Trans Borneo di laman web rasminya memberitahu, projek itu kelak akan dibina dalam dua fasa, melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer (km). / Gambar hiasan Ryan Lu Unsplash
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 April - RHB Investment Bank menjangkakan pelancaran Projek Kereta Api Trans Borneo tidak akan berlaku serta-merta kerana ia memerlukan persetujuan ketiga-tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Indonesia. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, tambahan pula, Kerajaan Malaysia sedang sibuk dengan projek mega lain antaranya Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT 3).

 

"Walau bagaimanapun, kami tidak menolak kemungkinan pelancaran dipercepatkan sekiranya pembiayaan disokong oleh sektor swasta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, pelancaran yang lebih cepat daripada jangkaan akan menjadi pemangkin bukan sahaja untuk kontraktor yang berpangkalan di Sarawak seperti Ibraco yang terlibat dalam Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching dan KKB Engineering tetapi juga untuk kontraktor Malaysia yang lain.

 

"Ini terutamanya yang mempunyai kelayakan dalam pembinaan rel iaitu IJM Corp yang turut terlibat dalam ART Kuching," jelas firma penyelidikan itu.

 

Katanya, rancangan untuk Kereta Api Trans-Borneo agak bersesuaian kerana perancangan untuk laluan kereta api Kalimantan telah bermula pada 2019 untuk Banjarmasin-Tanjung (196km) dan Banjarmasin-Palangkaraya (194km).

 

"Rancangan akan datang untuk rangkaian kereta api Kalimantan akan memperluaskan jajaran kepada sejumlah 2,428 km dalam pelbagai fasa, meliputi destinasi seperti Kalimantan Utara dan Pontianak.

 

"Jika Sarawak, Sabah dan Brunei kekal tidak terlibat, ketiga-tiganya akan kehilangan peluang besar untuk meraih faedah daripada aliran rentas sempadan yang lebih baik memandangkan Indonesia menubuhkan ibu negara baharunya di Kalimantan," ujarnya.

 

peta
Jajaran Projek Kereta Api Trans Borneo yang dicadangkan Brunergy Utama./ Grafik RHB Investment 

 

Tambah RHB Investment, pembangunan Projek Kereta Api Trans Borneo bukanlah sesuatu yang baru kepada Malaysia kerana pada Oktober 2023 kerajaan pernah mengumumkan akan membiayai tinjauan tanah untuk melihat kebolehlaksanaan pembinaan projek tersebut. 

 

"Ketika ini Kerajaan Sarawak dan Sabah masih belum secara rasmi dimaklumkan mengenai cadangan yang dibuat oleh Brunergy Utama mengenai TBR. 

 

"Unit Perancang Ekonomi (EPU) masih dalam menjalankan kajian yang boleh dilaksanakan untuk mewujudkan rangkaian kereta api untuk menghubungkan Sarawak dengan wilayah lain di Borneo," katanya.

 

Cadangan Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei untuk memulakan projek itu telah menarik perhatian media baru-baru ini dan ia bakal memendekkan masa perjalanan antara Brunei, Sarawak, Kalimantan dan Sabah.

 

Menurut syarikat itu, projek bernilai US$70 bilion (RM330 bilion) tersebut akan dilaksana dalam dua fasa membabitkan laluan sepanjang lebih 1,600 kilometer dan bakal dilengkapi kereta api berkelajuan tinggi yang mencecah kelajuan sehingga 350 kilometer sejam. - DagangNews.com