IPOH 1 Ogos - Sunway Ipoh Mall yang dibangunkan di Sunway City Ipoh bakal menjadi pusat beli-belah terbesar di bandar raya ini apabila siap pada tahun 2027.
Dengan kos keseluruhan pembangunan lebih RM1 bilion, Sunway Ipoh Mall mempunyai keluasan melebihi satu juta kaki persegi kawasan sewaan untuk menyediakan pelbagai tarikan kepada pengunjung.
Ia meliputi empat tingkat ruang perniagaan, gelanggang luncur ais pertama di Perak dan pusat pameran.
Tarikan lain ialah pusat boling 36 lorong, pusat sukan pelbagai guna, medan selera dan pawagam 10 dewan tayangan dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 1,500 penonton.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Sir Dr. Jeffrey Cheah berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 kerajaan negeri menggariskan agenda besar untuk memacu pembangunan ekonomi secara mampan, inklusif dan saksama.
Katanya, sebagai anak jati Perak, beliau berbangga dan berbesar hati untuk memainkan peranan dalam membangunkan kawasan di sini sebagai Koridor Pembangunan Timur Ipoh.
“Kumpulan Sunway akan terus menjadi rakan kongsi yang kukuh dengan kerajaan negeri Perak.
“Sunway City Ipoh merentasi kawasan seluas 1,350 ekar adalah perbandaran bersepadu terbesar di Perak dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2 bilion.
“Tambahan RM4 bilion GDV lagi sedang dijalankan dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.
“Sebagai pemangkin pertumbuhan bagi Koridor Pembangunan Timur Ipoh, perbandaran ini akan menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan dan potensi menjana kesan limpahan ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Pusat Beli-belah Sunway Mall Ipoh di sini yang dihadiri Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
Turut hadir Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbandanan Kemajuan Ekonomi negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Apabila siap kelak pusat beli-belah ini dijangka dapat mewujudkan sebanyak 5,000 peluang kerja dalam pelbagai bidang khususnya kepada anak-anak tempatan.
Jelas Jeffrey Cheah lagi, sebagai pemangkin pertumbuhan bagi Koridor Pembangunan Timur Ipoh, perbandaran di situ akan menjana kesan limpahan ekonomi yang ketara untuk Ipoh.
Selain itu katanya, pembangunan di sini dapat merancakkan lagi Jalan Tambun apabila menarik kedatangan pengunjung melalui susur keluar Lebuhraya Utara Selatan.
“Pembangunan Sunway City Ipoh lebih rancak dengan hospital berkelas dunia iaitu Sunway Medical Centre Ipoh yang akan beroperasi sepenuhnya awal tahun 2025.
“Lokasi itu juga akan menjadi hab pendidikan serantau, hotel serba baharu dan pusat konvensyen tercanggih,” ujarnya. - DagangNews.com