Pembinaan Seksyen 11 Lebuhraya WCE dari Beruas ke Taiping Selatan lancar, laluan dijangka siap hujung tahun ini | DagangNews Skip to main content

Pembinaan Seksyen 11 Lebuhraya WCE dari Beruas ke Taiping Selatan lancar, laluan dijangka siap hujung tahun ini

Jalan Persekutuan dari Lekir ke Beruas di Manjung yang bersambung dengan WCE.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 10 Julai - Laluan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan dijangka siap pada penghujung tahun ini sekali gus melengkapkan pembinaan tersebut di Perak.

 

Bahagian Seksyen 11 sepanjang 35.5 kilometer (km) dalam jajaran WCE ini merupakan gerbang penghubung pengguna dari kawasan Hilir Perak bermula dari Hutan Melintang.

 

Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, pembinaan di jajaran bahagian utara WCE atau Seksyen 11 itu kini telah siap 88 peratus.

 

Menurut beliau, ia melibatkan semua elemen kejuruteraan seperti kerja-kerja turapan jalan, pembinaan cerun, pembinaan rumah tol dan mekanikal.

 

Syed Muhd. Naguib semasa menerangkan tentang progres pembinaan projek WCE.
Syed Muhd. Naguib semasa menerangkan tentang progres pembinaan projek WCE kepada wakil media.

 

Laluan haiwan seperti ini akan dibina sebagai lintasan haiwan liar di jajaran Seksyen 11 WCE (gambar hiasan media sosial).
Laluan haiwan seperti ini dibina sebagai lintasan haiwan liar di jajaran Seksyen 11 WCE (gambar hiasan).

 

Katanya, apa yang lebih menarik pada jajaran tersebut ialah pembinaan dua terowong laluan haiwan atau 'animal box culvert' sebagai lintasan haiwan liar.

 

"Jajaran ini akan merentasi Hutan Simpan Bubu dan sebagai satu langkah pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem, kita membina dua terowong laluan haiwan atau 'animal box culvert'.

 

"Ini bagi memelihara persekitaran yang mana dapat melindungi hidupan liar.

 

"Pembinaan terowong laluan khas haiwan liar melintas yang menggunakan kemahiran kejuteraan tempatan ini juga yang pertama untuk lebuh raya di Malaysia," ujarnya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi media bersama pengurusan WCE Expressway di sini.

 

 Syed Muhd. Naguib (lima dari kiri) dan Syed Mohammed Idid (lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian wakil media di Ipoh.
Syed Muhd. Naguib (lima dari kiri) dan Syed Mohammed Idid (lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian wakil media di Ipoh.
 

 

Turut hadir Pengurus Besar, Komunikasi Strategik & Penglibatan Pihak Berkepentingan WCE, Syed Mohammed Idid.

 

Menurut Syed Muhd. Naguib, sebanyak enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dibina di Perak tahun hadapan iaitu masing-masing tiga di setiap bahagian.

 

Antaranya di laluan Teluk Intan selatan dan utara, Sungai Wangi selatan, Air Tawar utara serta Sungai Nyior utara dan selatan.

 

"Jarak antara R&R pada setiap bahagian ini adalah 60km.

 

"Perbincangan juga sedang dijalankan dengan beberapa pihak untuk pembukaan stesen minyak di setiap R&R ini," ujarnya.

 

Lebuhraya WCE sepanjang 233km yang merentasi negeri Perak dan Selangor.
Lebuhraya WCE sepanjang 233km yang merentasi negeri Perak dan Selangor.

 

Katanya lagi, ketika ini jumlah kenderaan yang melalui WCE meningkat sekitar 30 peratus iaitu antara 50,000 hingga 60,000 kenderaan sehari.

 

Angka itu bertambah pada musim perayaan seperti semasa Aidilfitri dan Aidiladha lalu iaitu mencecah 100,000 kenderaan. - DagangNews.com

dagangnews