Pembukaan beransur-ansur sektor ekonomi pacu pemulihan jualan 3Q21 InNature | DagangNews Skip to main content

Pembukaan beransur-ansur sektor ekonomi pacu pemulihan jualan 3Q21 InNature

InNature Bhd

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Pembukaan semula sektor ekonomi negara secara beransur-ansur memberi peluang kepada pemulihan jualan syarikat InNature Bhd (InNature) bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, meskipun begitu, pihaknya mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi mengambil kira kehilangan hasil secara berperingkat.

 

"Dengan pembukaan semula ekonomi Malaysia secara beransur-ansur selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami menjangkakan penjualan InNature di Malaysia (75% daripada pendapatan 1HFY21) akan pulih pada suku ketiga 2021 apabila kedai dibuka semula secara fizikal.

 

"Walau bagaimanapun, kami mengurangkan jangkaan perolahan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 11.6% hingga 26.1% bagi mengambil kira kehilangan pendapatan dan hasil secara berperingkat," jelas CGS-CIMB Research.

 

Bagi rekod, InNature mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM6.5 juta bagi tempoh separuh pertama 2021.

 

Pendapatan dalam tempoh berkenaan juga susut 4.2% tahun ke tahun disebabkan oleh kelemahan jumlah pengunjung akibat daripada sekatan pergerakan di semua operasi perniagaannya seperti Malaysia, Vietnam dan Kemboja pada suku kedua 2021.

 

Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang lebih ketat pada Mei hingga Jun 2021 susulan kebangkitan semula kes COVID-19 di seluruh negara, sekali gus menyebabkan operasi jualan InNature ditutup sepanjang Jun 2021.

 

Dalam pada itu, operasi di Vietnam dan Kemboja juga turut terjejas apabila kedua-dua negara berkenaan dilanda peningkatan kes COVID-19.

 

CGS-CIMB Research mengambil pendekatan menurunkan penarafan saham InNature kepada 'pegang' berbanding 'tambah' pada sebelumnya.

 

Saranan itu dibuat susulan peningkatan harga saham sekitar 20% sejak kemaskini terakhir yang dibuat CGS-CIMB Research. - DagangNews.com