Pembukaan VTL Malaysia-Singapura langkah awal pulihkan ekonomi, kata dewan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Pembukaan VTL Malaysia-Singapura langkah awal pulihkan ekonomi, kata dewan perniagaan

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Nov – Langkah Kerajaan negeri Johor untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura serentak dengan VTL udara pada 29 November ini merupakan langkah awal untuk pulihkan ekonomi kedua negara berjiran itu yang terjejas teruk akibat COVID-19.

 

Pengerusi Dewan Perniagaan Usahawan Era Baru Malaysia (DPUEBM), Saiful Sidek Abdullah berkata, DPUEBM mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana ini merupakan berita baik yang sangat di nantikan oleh semua pihak.

 

“Ia adalah langkah awal bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi di antara dua negara yang terjejas teruk sejak pandemik ini melanda pada Mac 2020 lalu,” katanya kepada DagangNews.com

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berita  yang mengatakan laluan VTL darat dan udara akan dilaksanakan serentak pada 29 Nov ini.

 

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, keputusan diambil hasil perbincangan yang turut memutuskan perjalanan darat itu hanya merangkumi sempadan pas jangka panjang, semua untuk mereka yang bekerja di Singapura atau yang bekerja di Johor Bahru.

 

Menurut Saiful Sidek, sejak Mac 2020 lalu, Johor Bahru khususnya terjejas teruk terutama dalam sektor peruncitan serta pelancongan.

 

“Ia melibatkan ramai peniaga di kedua-dua sektor tersebut “tutup kedai” akibat tiada pendapatan langsung akibat pandemik yang melanda ini, katanya.

 

Saiful Sidek Abdullah
Saiful Sidek Abdullah

 

Dalam sektor pelancongan misalnya, dengan penutupan sempadan semenjak Mac 2020 lalu, dianggarkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pelancong asing yang menjadi penyumbang utama sektor perniagaan di Johor.

 

Ditambah pula Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan memburukkan lagi sektor perniagaan di mana aktiviti perniagaan tidak dapat dijalankan seperti biasa.

 

Semenjak Mac 2020 juga, Saiful Sidek berkata peniaga-peniaga kecil adalah yang paling terkesan, penurunan jualan secara mendadak menyebabkan mereka tidak mampu bertahan lama kerana terpaksa menanggung perbelanjaan tetap bulanan seperti sewa, upah dan sebagainya.

 

Di samping itu juga, katanya sektor peruncitan dan pelancongan atau perhotelan terpaksa memberhentikan pekerja dan hanya mampu memberi pampasan yang minimum kepada pekerja yang diberhentikan itu.

 

“Kami juga berharap, suatu pelan pemulihan ekonomi dirangka serentak dengan pembukaan sempadan.

 

“Ini kerana percaya bahawa untuk memulakan semula aktiviti perniagaan selepas tutup hampir 20 bulan, peniaga-peniaga kecil khususnya perlu sokongan kerajaan atau badan-badan yang berkaitan dengan peniaga-peniaga kecil ini seperti bank, pemilik premis perniagaan, pusat-pusat membeli belah dan sebagainya,” tegas Saiful Sidek.

 

Katanya, sokongan bukan hanya berupa modal permulaan sahaja misalnya, namun suatu skim pembayaran balik hutang perlu dirangka bagi tidak membebankan peniaga-peniaga kecil ini untuk mengaktifkan semula perniagaan mereka.

 

Dalam keadaan bakal menerima pertambahan pelanggan setelah di buka sempadan, beliau berkata tentunya modal yang lebih besar diperlukan serta penambahan pekerja misalnya diperlukan maka adalah penting untuk mereka dibantu sekurang-kurangnya untuk dapat memulakan semula aktiviti perniagaan mereka ini.
 

Dewan Perniagaan Usahawan Era Baru Malaysia


Sementara itu, beliau juga mengingatkan: “Kami juga amatlah berharap agar kerancakan semula sektor ekonomi ini tidak menjadikan kita lalai dalam penjagaan SOP.”

 

“ Ini amatlah penting kerana kita mahu keadaan menjadi bertambah baik dan tidak mahu keadaan menjadi buruk semula angkara kelalaian kita menjaga SOP, “ ujarnya.

 

Sebagaimana SOP VTL udara dilaksanakan, kami juga berharap dapat dilaksanakan dalam VTL darat ini seperti pengunjung perlu divaksin sepenuhnya, perlu berada di Singapura selama minimum 14 hari berturut-turut sebelum berangkat ke Malaysia, membeli insurans perjalanan yang melindungi seseorang sehingga RM100,000.00 bagi penyakit yang berkaitan dengan COVID-19 dan sebagainya.

 

Malah kami juga berharap VTL darat ini lebih diperketatkan lagi SOP kerana pastinya ia melibatkan jumlah yang lebih banyak berbanding VTL udara.

 

Menyentuh tentang DPUEBM, Saiful Sidek berkata ia ditubuhkan untuk mewujudkan jaringan perhubungan di antara usahawan-usahawan SME khususnya di seluruh negara di dalam suatu platform untuk sama-sama menghadapi era baharu dunia perniagaan masa kini yang berteraskan IT, dunia digital dan Revolusi Industri 4.0.

 

DPUEBM juga akan berperanan membantu mengisi kelompangan dalam kalangan usahawan-usahawan yang masih belum mahir dengan perniagaan berasaskan IT, dunia digital dan Revolusi Industri agar tidak ketinggalan jauh di era perniagaan baru ini.

 

Tengku Ahmad Rosdi Tg Abdullah
Tengku Ahmad Rosdi Tg Abdullah

 

Menyambut baik langkah kerajaan itu, Pengerusi Peniaga-peniaga Angsana Mall JB, Tengku Ahmad Rosdi Tg Abdullah berkata :’Saya bersyukur dengan pembukaan laluan VTL darat antara Singapura dan Johor kerana ia memberi harapan baru dan kelegaan kepada peniaga-peniaga terutama yang berniaga di Angsana JB Mall.”

 

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, beliau berkata Angsana JB Mall adalah di antara tumpuan dan tarikan yang paling popular dikunjungi warga Singapura untuk membeli-belah.

 

“Walaubagaimanapun saya berharap, pembukaan VTL darat ini dilanjutkan kepada semua mereka yang telah divaksinasi sepenuhnya dan bukan hanya terhad kepada mereka yang mempunyai pas jangka panjang, untuk mereka yang bekerja di Singapura atau yang bekerja di Johor Bahru sahaja,” tambah Tengku Ahmad Rosdi. DagangNews.com