SHAH ALAM 28 Jun - Leon Fuat Berhad menerima kelulusan pemegang saham untuk pembayaran dividen akhir satu tahap sebanyak 2.0 sen setiap saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021).
Syarikat itu yang terlibat terutamanya dalam perniagaan perdagangan, pemprosesan dan/atau pembuatan (secara kolektif dirujuk sebagai pemprosesan) produk keluli, pengkhususan dalam produk keluli bergulung panjang dan rata, mengumumkan bahawa pemegang sahamnya telah meluluskan semua resolusi di Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 Kumpulan itu hari ini.
Pemegang saham turut mengundi untuk memilih semula Dato' Sri Ooi Bin Keong, Tan Did Heng (Did Heng), Tan Sack Sen (Sack Sen) dan Dato Lim Cheng Poh sebagai pengarah serta mengekalkan Chan Kee Loin sebagai pengarah bebas. Turut dikekalkan sebagai pengarah bebas adalah Did Heng dan Sack Sen.
Antara resolusi lain yang diundi, pemegang saham melantik semula Baker Tilly Monteiro Heng PLT sebagai juruaudit Kumpulan dan memberi kuasa kepada pengarah untuk membetulkan semula ganjaran kepada juruaudit.
Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How berkata, pihaknya gembira bertemu dengan pemegang saham kami semula secara fizikal pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 selepas melaksanakan mesyuarat agung tahunan secara maya sebelum ini.
"Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemegang saham atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada kami dalam melayari FY2021 yang begitu mencabar.
"Prestasi kewangan kami bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 adalah memuaskan walaupun terdapat pengurangan dalam margin keuntungan kasar keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“Kami agak optimistik dalam mencapai keputusan yang menguntungkan bagi suku berikutnya dalam FY2022 tetapi kami ingin menjelaskan bahawa gambaran pasaran adalah malap memandangkan Bank Dunia telah menurunkan prospek pertumbuhan ekonomi global kepada 2.9% tahun ini daripada 4.1% yang diramalkan pada Januari 2022,'' katanya.
Bagi menangani risiko kata Ooi, Kumpulan ini akan terus memantau dengan teliti harga keluli serta mata wang asing berkaitan.
"Kami juga akan mengambil langkah proaktif seperti menjangkakan ketidaktentuan harga dan mata wang dengan merundingkan kontrak hadapan serta menguruskan inventori secara berjimat,” jelasnya.
Aktiviti perdagangan Kumpulan Leon Fuat terdiri daripada portfolio produk keluli yang luas, yang merangkumi produk rata seperti gegelung, plat, kepingan, tiub dikimpal, dan paip, bahagian segi empat tepat dan persegi yang dikimpal, dan produk panjang seperti bar, rod, aci, bahagian, sudut, saluran dan tiub dan paip lancar. - DagangNews.com