Pemegang saham PT Resources lulus semua resolusi semasa AGM | DagangNews Skip to main content

Pemegang saham PT Resources lulus semua resolusi semasa AGM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Pemegang saham PT Resources Holdings Berhad sebulat suara menyokong semua resolusi yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) keempat yang diadakan hari ini. 

 

Resolusi biasa yang merangkumi urusan rutin AGM telah diluluskan tanpa pertikaian. 

 

Selain itu, resolusi khas, berkaitan dengan cadangan pindaan kepada perlembagaan syarikat, juga mendapat kelulusan sebulat suara.

 

Syarikat juga telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.65 sen sesaham biasa berjumlah RM3.48 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024 akan dibayar pada 10 November 2023. 

 

Ia merupakan agihan dividen pertama daripada syarikat sejak penyenaraiannya pada September 2022.

 

pt
Heng Chang Hooi

 

Pengarah Urusan PT Resources, Heng Chang Hooi berkata, pihaknya ingin berterima kasih kepada pemegang saham di atas kepercayaan dan sokongan mereka kerana ia adalah asas kejayaan kumpulan dan menjadi pendorong untuk lebih cemerlang. 

 

“Ia merupakan tahun yang luar biasa bagi kami. Kami mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh pada FY23, lonjakan yang luar biasa sebanyak 44% kepada RM502.6 juta, berbanding FY22. 

 

"Peningkatan ketara ini adalah disebabkan oleh permintaan dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

PT Resources meramalkan momentum jualan yang berterusan disokong oleh usaha bagi memenuhi jumlah pelanggan yang semakin meningkat di luar negara, terutamanya melalui anak syarikat baharu di China dan Indonesia. - DagangNews.com