Pemegangan ekuiti oleh pelabur asing merudum ke tahap 11 tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Pemegangan ekuiti oleh pelabur asing merudum ke tahap 11 tahun lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 April - Pemegangan asing di pasaran ekuiti Malaysia menyusut 0.1% kepada 20.3% setakat hujung Mac 2021, iaitu tahap sama yang dicatatkan pada Mei 2010.

 

Menurut CGS-CIMB Research, ini disebabkan oleh pelabur asing menjual bersih RM34 juta nilai ekuiti pada bulan lalu. 

 

“Trend penyusutan jumlah pemegangan saham asing bermula pada Mei 2018 atau selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) meraih majoriti mudah di Parlimen, menyaksikan peralihan pertama pemerintahan dalam sejarah Malaysia.

 

“Sejak itu, tahap pemegangan asing jatuh 3.9% mata peratusan daripada tahap tertingginya sebanyak 24.2% pada Mei 2018 kepada 20.3% setakat Mac 2021,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

 

Tambah firma penyelidikan itu, pelabur asing merupakan penjual bersih pasaran bagi 20 bulan berturut-turut, bermula Julai 2019 hingga Mac 2021. 

 

Setakat ini bagi tahun 2021, pelabur asing telah menjual bersih RM1.7 bilion ekuiti Malaysia, kata CGS-CIMB.

 

Pada minggu lalu, indeks FBM KLCI jatuh 1% bagi perbandingan minggu ke minggu kepada 1,585 mata ekoran kerugian dalam sektor penjagaan kesihatan dan telekomunikasi. 

 

Sementara itu, purata jumlah dagangan harian menokok 4% kepada 7.2 bilion unit, manakala purata nilai dagangan harian pula menyusut 1.3% kepada RM3.66 bilion.

 

Pelabur runcit, penama tempatan dan proprietari merupakan pembeli bersih pada tempoh sama. 

 

Pelabur asing dan institusi tempatan pula menjadi penjual bersih bagi minggu tersebut yang berakhir 2 April 2021.

 

Pelabur asing terus berada dalam mod penjualan, bagaimanapun, aliran jualan bersih mereka jatuh 28% berbanding minggu sebelumnya kepada RM173 juta. - DagangNews.com