Pemerkasa Plus kurangkan kesan COVID-19 ke atas ekonomi negara | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa Plus kurangkan kesan COVID-19 ke atas ekonomi negara

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Inisiatif terbaharu kerajaan, Pemerkasa Plus yang diumumkan semalam dilihat mampu mengurangkan kesan COVID-19 ke atas ekonomi negara.

 

Kenanga Research berkata, meskipun inisiatif berkenaan hanya melibatkan RM5 bilion suntikan langsung fiskal kerajaan, ia merupakan satu pakej yang cukup besar dan mampu mengurangkan impak 'lockdown' secara menyeluruh.

 

"Walaupun suntikan langsung RM5 bilion agak kecil, Pemerkasa Plus adalah satu pakej yang cukup besar yang berkemungkinan akan mengurangkan kesan ekonomi daripada sekatan pergerakan secara total selain membantu institusi kesihatan awam mendepani peningkatan kes COVID-19," jelas Kenanga Research.

 

Pakej rangsangan ekonomi terbaharu itu melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM40 bilion.

 

Kenanga Research berkata, baki sebanyak RM35.5 bilion lagi akan dijadikan sebagai langkah bantuan tidak langsung dan tambahan kepada pakej fiskal yang terdahulu.

 

Pengumuman tersebut sekali gus menjadikan pakej rangsangan fiskal COVID-19 negara yang terdiri daripada Pemerkasa Plus, Pemerkasa Permai, Prihatin, Prihatin PKS, Penjana dan Kita Prihatin bernilai RM368.6 bilion.

 

Jumlah tersebut adalah 25.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Jumlah keseluruhan tersebut melibatkan suntikan fiskal langsung berjumlah RM71.0 bilion iaitu 4.6% daripada KDNK.

 

Pakej rangsangan berkenaan akan dilaksanakan berlandaskan kepada tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. 

 

Tambah Kenanga Research lagi, pakej Pemerkasa Plus juga akan membantu meminimumkan tekanan terhadap pendapatan boleh guna kumpulan berpendapatan rendah di samping memperluas aliran tunai PKS.

 

Perkara tersebut secara tidak langsung membolehkan golongan berkenaan mengekalkan lebih ramai pekerja. - DagangNews.com