Pemerkasa Plus : PM umum bantuan ‘lockdown’ bernilai RM40 bilion  | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa Plus : PM umum bantuan ‘lockdown’ bernilai RM40 bilion 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Susulan penguatkuasaan ‘total lockdown’ bermula hari ini hingga 14 Jun depan, kerajaan mengumumkan program bantuan Pemerkasa Tambahan atau Pemerkasa Plus sebagai inisiatif terbaharu untuk meredakan cabaran yang dihadapi.

 

Dalam pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, nilai keseluruhan pakej rangsangan berkenaan mencecah nilai RM40 bilion, dengan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion. 

 

pemerkasa

 

Katanya, langkah baharu Pemerkasa Plus akan dilaksanakan berlandaskan tiga matlamat utama iaitu untuk Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam; Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; dan Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

 

Di bawah matlamat pertama, Muhyiddin berkata, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam. 

 

“Pertama: memperuntukkan RM450 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan COVID-19, bukan sahaja di Hospital seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak. 

 

pemerkasa

 

“Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk RM200 juta yang diumumkan oleh Menteri Kewangan (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) pada 22 Mei baru-baru ini,” katanya ketika mengumumkan Pemerkasa Plus, lewat malam tadi. 

 

Menerusi matlamat sama, kerajaan turut memperuntukkan RM550 juta untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan COVID-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak. 

 

Selain itu, ujar Muhyiddin, kerajaan turut melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022 dan dalam masa sama melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak. 

 

Seterusnya, di bawah matlamat kedua,  kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM2.1 bilion bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), kata Muhyiddin lagi.

 

pemerkasa

 

“Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima kadar sebanyak RM300 ringgit. Golongan bujang pula akan menerima RM100.

 

“BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion,” tambah Muhyiddin. 

 

Selain daripada inisiatif BPR, Pemerkasa Plus turut merangkumi pemberian moratorium secara automatik, lanjutan program subsidi upah (PSU) selain pelancaran Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan RM1 bilion ringgit. 

 

Dalam pada itu, di bawah matlamat terakhir, kerajaan mengumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak RM500 kepada RM1,500. 

 

pemerkasa


 

Kata Muhyiddin lanjut, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3%. 

 

“Selain itu, tidak dinafikan semasa tempoh PKP ini, ia turut memberi kesan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Bagi mengurangkan beban mereka, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.

 

“Selain itu, sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas,” katanya lanjut. - DagangNews.com