Pemerkasa Plus tingkat prestasi ekosistem perdagangan domestik - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa Plus tingkat prestasi ekosistem perdagangan domestik - KPDNHEP

Perdagangan negara

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Pakej rangsangan ekonomi terbaharu, Pemerkasa Plus yang bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal baharu berjumlah RM5 bilion pastinya mampu meningkatkan prestasi  keseluruhan ekosistem perdagangan domestik di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia terutamanya kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran.

 

"KPDNHEP menghargai kepercayaan Perdana Menteri atas pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi KPDNHEP dalam Matlamat Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

 

"Melalui inisiatif ini, pelanjutan masa 90 hari diberikan kepada syarikat dengan tahun kewangan berakhir 1 November 2020 Hingga 31 Januari 2021 bagi mengedarkan penyata kewangan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menyerah simpan penyata kewangan dan RM100 fi permohonan lanjutan masa dikecualikan.

 

"SSM juga memperkenalkan moratorium 30 hari selepas tamat tempoh 'Total Lockdown' bagi serah simpan dokumen berkanun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dengan Fi lewat serah simpan dikecualikan," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, SSM turut mengurangkan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarkat 2016 selain mengecualikan kompaun ke atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2021.

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau memberitahu pihaknya akan terus mempertingkatkan pelaksanaan Inisiatif Ketiga yang disebut oleh Perdana Menteri iaitu Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.

 

Bagi tujuan tersebut, Penguat Kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan di 570,932 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan yang membanggakan pada kadar 98.49% sehingga 31 Mei 2021.

 

"Secara keseluruhannya, KPDNHEP yakin Pemerkasa Plus akan menjadi pelengkap kepada program serta inisiatif sedia ada seperti Penjana dan Prihatin, dan Pemerkasa 1.0 dan pastinya ini akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri khususnya melalui kelangsungan perdagangan domestik," katanya. - DagangNews.com