Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa Plus umum moratorium segera hingga RM30 bilion

Moratorium

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Hasrat rakyat agar kerajaan menimbang semula pemberian moratorium disambut baik melalui program bantuan Pemerkasa Tambahan atau Pemerkasa Plus yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

 

Beliau memberitahu, bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium itu akan dilaksanakan dengan segera pada Jun yang dijangka akan memanfaatkan lebih daripada lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.

 

"Hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

 

"Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh enam bulan," jelas beliau.

 

.

 

Dalam pengumuman sama, beliau memberitahu, industri perbankan akan memberikan maklumat yang lebih terperinci berhubung perkara berkenaan bermula hari ini.

 

Peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapatkan manfaat bantuan berkenaan.

 

Dengan pengumuman moratorium automatik itu, Muhyiddin turut meletakkan harapan agar perkara tersebut memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan.

 

Pemerkasa Plus yang diumumkan semalam merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi terutamanya ekoran pelaksanaan PKP pada masa ini. 

 

Inisiatif berkenaan melibatkan nilai keseluruhan bernilai RM40 bilion meliputi RM5 bilion suntikan langsung fiskal kerajaan.

 

Langkah baharu inisiatif berkenaan akan dilaksanakan berlandaskan kepada tiga matlamat utama iaitu mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam, meneruskan agenda prihatin rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. - DagangNews.com