Pemerkasa tawar pembiayaan pengukuhan PKS hingga RM250,000 melalui SMERF | DagangNews Skip to main content

Pemerkasa tawar pembiayaan pengukuhan PKS hingga RM250,000 melalui SMERF

Azizi Mustafa

Azizi Mustafa

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menjalin kerjasama dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada PKS.

 

Kemudahan pembiayaan yang dikenali sebagai SME Revitalization Financing (SMERF) adalah khusus kepada PKS yang berdepan dengan masalah kewangan serta sektor yang terpinggir.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, bantuan pembiayaan tersebut diharap dapat memberi ruang bernafas kepada PKS termasuk perusahaan mikro dalam menghadapi kesukaran ekonomi yang dihadapi.

 

"Pembiayaan ini akan mengurangkan kekangan aliran tunai yang dihadapi oleh PKS yang berdaya maju dalam mengukuhkan & mencapai matlamat perniagaan, di samping memperteguhkan teras perniagaan serta membina keupayaan dan kemampuan," katanya dalam satu kenyataan.

 

SMERF merupakan skim pembiayaan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa)  yang disalurkan melalui SME Corp. Malaysia dan dilaksanakan oleh MIDF.

 

Skim berkenaan dibangunkan untuk memudah cara PKS yang berdaya maju yang mempunyai kekangan kewangan dan sektor yang terpinggir untuk kekal berdaya tahan dan terus berusaha melalui peningkatan kebolehpasaran produk, kemampanan perniagaan serta penerapan teknologi dan modenisasi. 

 

Dengan kaedah pembiayaan yang cepat dan fleksibel, produk berkenaan dijangka dapat membantu memperkukuhkan perniagaan teras, meningkatkan produktiviti dan membantu mengekalkan pekerjaan.

 

Skim tersebut menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 atau sehingga 90% daripada jumlah kos yang layak dengan kadar faedah serendah 3%.

 

Sementara itu, Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan MIDF, Azizi Mustafa memberitahu, pihaknya memuji dan menyokong penuh langkah yang diambil kerajaan untuk membantu PKS melalui inisiatif berkenaan.

 

"Kami menyokong penuh inisiatif ini dengan memberikan sebanyak mungkin bantuan kepada mereka yang terkesan ketika mengharungi tempoh sukar ini.

 

"Terima kasih juga kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corp. Malaysia yang menyediakan dana untuk SMERF.

 

"MIDF dengan besar hati memainkan peranan kami dalam menyokong pemulihan ekonomi negara dan membantu PKS sebagai enjin pertumbuhan," ujar beliau lagi.

 

Permohonan SMERF akan dibuka kepada PKS mulai 26 Julai 2021. - DagangNews.com