Pemimpin dan parti politik Melayu mesti cari cara kurangkan pecah belah demi kesejahteraan negara - SPCAAM | DagangNews Skip to main content

Pemimpin dan parti politik Melayu mesti cari cara kurangkan pecah belah demi kesejahteraan negara - SPCAAM

KUALA LUMPUR 9 Mei - Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa pemimpin dan parti politik Melayu Islam mencari cara yang kurang memecahbelahkan bagi membuktikan nilai mereka kepada penduduk Melayu Islam.

 

Presiden SPCAAM, J Solomon berkata, "jika orang Melayu kekal bersatu, orang bukan Melayu juga akan berusaha ke arah menyatukan parti politik komunal supaya kita boleh mendapat manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang bersatu".

 

Menurut beliau, sesiapa yang telah memecahbelahkan orang Melayu, merekalah yang mendapat faedah daripada perpecahan itu.

 

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa semua rakyat Malaysia perlu memastikan perpaduan orang Melayu supaya kita dapat hidup bahagia dan aman di Malaysia.

 

 

J Solomon
Presiden SPCAAM, J Solomon juga merupakan Setiausaha Agung NUBE

 

 

Beliau berkata, pentadbiran sebelum ini yang memerintah selama lebih 60 tahun, mengagihkan kekayaan secara adil kepada bukan Melayu, termasuk di Sabah dan Sarawak.

 

"Pengecualian ketara berlaku apabila pemimpin masyarakat gagal mengagihkan sumber yang diperuntukkan kepada akar umbi, dan ini membawa kepada kemunculan gerakan seperti Hindraf antara lain.

 

"Dengan mengambil kira kepentingan pekerja dan negara, SPCAAM menyeru semua pemimpin dan parti Melayu Islam untuk mengembalikan perpaduan dalam kalangan  populasi Melayu Islam, demi negara dan masa depan anak-anak kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Solomon berkata, komponen Melayu Islam adalah asas negara dan selagi mereka bersatu, yang lainnya, termasuk pekerja, akan juga menikmati sebuah negara Malaysia yang kukuh, aman dan makmur.

 

"Apabila orang Melayu Islam menjadi lemah dan berpecah-belah, seluruh negara mengalami kesan negatif, sesuatu yang amat ketara sejak akhir-akhir ini," ujar beliau.

 

"Baru-baru ini, nilai Ringgit kita semakin susut, dan akibatnya keharmonian kaum teruji.

 

"Keadilan juga dicerobohi secara terang-terangan dan rungutan golongan lemah tidak diendahkan dan keangkuhan telah menyusup ke dalam pentadbiran semasa - berlaku secara meluas di dalam Kementerian Sumber Manusia," katanya.

 

spcaam

 

SPCAAM menyedari keadaan negara ini yang semakin merosot, dan 16 juta pekerja, yang merupakan hampir separuh daripada penduduk negara, mengalami kesan yang paling teruk.

 

"Kerajaan Barisan Nasional dahulu mengiktiraf kepentingan hak pekerja dan kebebasan kesatuan sekerja.

 

"Malangnya, pentadbiran semasa yang kita harapkan untuk membentuk Malaysia yang lebih baik nampaknya mempunyai slogan yang mengagumkan tetapi gagal melindungi hak pekerja," kata Solomon.

 

"Walaupun kesatuan sekerja dan kerajaan terdahulu tidak selalunya bersependapat  antara satu sama lain, kita masih boleh menyelesaikan perselisihan pandangan kita secara adil, wajar dan saling menghormati.

 

"Oleh sebab berlaku perpecahan politik dalam kalangan penduduk Melayu Islam dengan pelbagai parti terutamanya daripada kumpulan serpihan UMNO, kita tidak dapat lagi menikmatinya keadaan sedemikian.

 

"Apa yang kita perhatikan sekarang ialah parti-parti Melayu sentiasa berusaha untuk mengatasi satu sama lain dalam isu-isu seperti kaum dan agama, bagi membuktikan kepada penduduk Melayu Islam bahawa merekalah yang paling mampu mempertahankan dan mempromosikan hak dan kepentingan Melayu Islam," kata Solomon. - DagangNews.com