Pemulih pacu kebajikan perniagaan mikro - MAFI | DagangNews Skip to main content

Pemulih pacu kebajikan perniagaan mikro - MAFI

 Menteri MAFI menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh, Muar Johor hari ini.

Menteri MAFI menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh, Muar Johor hari ini.
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menjadi bukti  bahawa kerajaan terus komited dalam mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta memulihkan semula ekonomi negara selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pelan berkenaan menyokong perniagaan mikro dengan meneruskan program pembiayaan mikrokredit dengan tambahan dana berjumlah RM500 juta di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.

 

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan skim ini adalah sebanyak RM850 juta termasuk peruntukkan sebanyak RM350 juta sebelum ini di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disediakan sebagai bantuan kewangan kepada usahawan mikro terutamanya pengusaha agromakanan dibawah kategori B40 yang terlibat dengan aktiviti pertanian dan pengeluaran makanan.

 

"Skim ini boleh digunakan untuk mendapatkan semula modal pusingan untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas serta sebagai modal permulaan kepada usahawan baru yang ingin menceburi bidang agromakanan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, inisiatif memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian juga telah diumumkan.

 

Program berkenaan katanya akan dilaksanakan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu.

 

Tambah beliau, MAFI akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menjayakan setiap pakej ekonomi yang diumumkan bagi memastikan sektor agromakanan dapat pulih dengan segera di setiap peringkat rantaian makanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi.

 

“Bantuan-bantuan bersasar di bawah pakej Pemulih akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agromakanan.

 

"Pakej berkenaan secara langsung dapat membantu golongan terkesan terutamanya mereka yang mengusahakan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan golongan yang berada dalam kategori B40 untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara," katanya lagi. - DagangNews.com