Pemulih selamatkan ekonomi daripada terus terjejas - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Pemulih selamatkan ekonomi daripada terus terjejas - Kenanga

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan semalam dilihat mampu menjadi penyelamat ekonomi negara daripada terus terjejas.

 

Kenanga Research berkata, pakej berkenaan juga mampu meredakan kebimbangan orang ramai disebalik lanjutan tempoh 'lockdown'.

 

"Kami mengekalkan ramalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 pada kadar 5.0% - 6.0% kerana kami menjangkakan pakej rangsangan ekonomi yang besar ini dapat mengelak ekonomi daripada terus terjejas.

 

"Ia juga memberi kelegaan buat sementara waktu kerana tempoh 'lockdown' yang berpanjangan," jelas Kenanga Research.

 

Pakej rangsangan ekonomi Pemulih yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan untuk memberi bantuan menyeluruh kepada rakyat dengan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan dan Meningkatkan Vaksinasi'.

 

Pemulih menyaksikan nilai keseluruhan sebanyak RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

 

Tambah Kenanga Research, Pemulih merupakan pakej rangsangan ekonomi yang besar dan mampu meningkatkan ekonomi negara disebalik pelaksaan 'lockdown'.

 

Pakej berkenaan juga dijalankan bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan awam terpelihara.

 

"Meskipun suntikan langsung fiskal RM10 bilion agak kecil, tetapi ia adalah sesuai memandangkan ruang fiskal kerajaan adalah sangat terhad.

 

"Yang penting ialah tumpuan untuk meningkatkan vaksinasi nasional kerana usaha ini akan membolehkan peralihan fasa tepat pada masa mengikut Pelan Pemulihan Nasional sekali gus mengurangkan risiko kesihatan.

 

"Walaupun suntikan langsung fiskal RM10 bilion, kami mengekalkan unjuran defisit fiskal 6.3% daripada KDNK 2021 kerana kami menjangkakan harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi akan menyumbang hasil yang signifikan kepada kerajaan," jelas Kenanga Research lagi. - DagangNews.com