Pemulih: Spa dan pusat urut kaki terima bantuan 'one off' RM1,000 | DagangNews Skip to main content

Pemulih: Spa dan pusat urut kaki terima bantuan 'one off' RM1,000

 Pemulih: Spa dan pusat urut kaki terima bantuan 'one off' RM1,000. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bantuan kewangan sebanyak RM1,000 secara 'one off' akan disalurkan kepada pengusaha spa dan Pusat Urutan Kaki (PUK) yang terjejas dalam masa terdekat.

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berkata, bantuan adalah bagi meringankan beban golongan berkenaan menghadapi wabak pandemik C0VID-19.

 

"MOTAC menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000.00 secara One-Off kepada mereka yang terjejas dalam masa yang terdekat.

 

"Pengusaha spa dan PUK ini hendaklah bernaung di bawah persatuan yang diiktiraf oleh MOTAC iaitu Association of Malaysian Spas (AMSPA) dan Malaysian Association of Wellness & Spa (MAWSPA).

 

"Borang permohonan secara atas talian, syarat permohonan dan maklumat berkaitan boleh didapati di pautan http://www.motac.gov.my/PrihatinMOTAC21_Spa mulai 19 Ogos 2021," jelas MOTAC dalam satu kenyataan.

 

Tarikh tutup bagi permohonan tersebut adalah pada 6 September 2021.

 

Tambah MOTAC, bantuan itu dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 433 pengusaha spa dan PUK. 

 

"MOTAC menyeru semua pengusaha spa dan PUK yang layak untuk segera mengemukakan permohonan bantuan yang ditawarkan ini," ujar MOTAC lagi. - DagangNews.com