Pemulihan sektor penerbangan kepada paras sebelum pandemik hanya akan berlaku menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Pemulihan sektor penerbangan kepada paras sebelum pandemik hanya akan berlaku menjelang 2024

Jumlah penumpang MAHB meningkat tiga kali ganda kepada 34 juta pada separuh pertama 2022. - Gambar : Facebook MAHB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Sept - Trafik penumpang dijangka hanya akan mencecah paras sebelum pandemik menjelang 2024 meskipun ia dilihat semakin bertambah baik pada separuh kedua ini, demikian menurut Kenanga Research. 

 

Ini berdasarkan kepada prestasi dua saham berkaitan penerbangan di bawah liputannya yang merekodkan hasil mengecewakan pada suku kedua lalu apabila pemulihan semula pengangkutan udara pada tempoh berkenaan meleset daripada jangkaan. 

 

Penganalisisnya, Raymond Choo Ping Khoon berkata, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Capital A Bhd. juga berdepan cabaran tersendiri yang harus mereka lalui.

 

Bagi MAHB, katanya, kenaikan tarif nampaknya tidak akan dilaksanakan selaras dengan kertas rundingan baru-baru ini yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang tidak menunjukkan dengan baik keupayaannya menjana aliran tunai mencukupi untuk tujuan perbelanjaan modal, terutamanya pengembangan dan penyelenggaraan lapangan terbang. 

 

"Walaupun Mavcom mengemukakan juga cadangan mekanisme untuk MAHB mendapatkan balik kerugian yang ditanggung pada tahun-tahun berikutnya, kami bimbang mengenai aliran tunainya dalam tempoh terdekat.

 

"Capital A pula masih bergelut dengan status Nota Amalan 17 (PN17) dan memerlukan pelan penyusunan semula yang lebih berdaya maju dan holistik untuk mengeluarkannya daripada status berkenaan. 

 

"Oleh itu, kami tidak mempunyai saham yang menjadi pilihan utama bagi sektor ini, justeru, mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor penerbangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

airasia

 

 

Jumlah penumpang MAHB meningkat tiga kali ganda kepada 34 juta pada separuh pertama 2022, tetapi ia hanya merangkumi 37% daripada anggaran firma bagi tahun kewangan penuh (dan 51% daripada 67 juta penumpang yang direkodkan pada separuh pertama 2019 sebelum tercetusnya pandemik COVID-19).

 

Begitu juga dengan Capital A, walaupun penumpang bagi setiap kilometer (RPK) meningkat empat kali ganda pada separuh pertama 2022, namun, hanya membentuk 35% daripada anggaran tahun kewangan penuh (dan 27% daripada 31 bilion yang direkodkan pada separuh pertama 2019 sebelum wabak).

 

Menurut Ping Khoon, jumlah penumpang MAHB pada separuh kedua dijangka bertambah baik memandangkan keseluruhan rangkaian lapangan terbang yang dikendalikannya menyaksikan peningkatan pada Julai 2022, merekodkan 7.8 juta penumpang menjadikan jumlah setakat ini mencecah 42 juta.

 

Beliau menjangkakan trajektori trafik berkembang pesat daripada asas rendah pada bulan-bulan berikutnya didorong oleh kapasiti tempat duduk domestik yang menghampiri 90% paras sebelum pandemik mulai Julai dan kapasiti tempat duduk antarabangsa dijangka pulih kepada sekurang-kurangnya 50% paras sebelum COVID-19 bagi tempoh sama.

 

"Namun begitu, dengan mengambil kira laporan kewangan pada suku kedua itu, kami mengurangkan andaian jumlah penumpang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 13% kepada 70 juta (dan mengurangkan andaian FY23 sebanyak 13% kepada 101 juta)," katanya. 

 

Bagi Capital A, beliau juga optimis permintaan penumpang akan terus meningkat pada separuh kedua 2022 berpandukan kepada faktor muatan yang menggalakkan selepas 159 laluan antarabangsa yang dilancarkan semula dalam tempoh berkenaan.

 

Pada Ogos, katanya, AirAsia mengendalikan 108 pesawat dan dijangka menyaksikan 160 pesawat beroperasi menjelang akhir tahun ini. 

 

"Tetapi, berdasarkan prestasi kewangannya pada suku kedua, kami mengurangkan anggaran RPK bagi FY22 sebanyak 15% kepada 23 bilion dan mengurangkan unjuran FY23 sebanyak 14% kepada 50 bilion," tambahnya. - DagangNews.com