KUALA LUMPUR 28 Jun - CC International Bhd membuat penampilan sulung di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini, dibuka pada 27 sen sesaham, premium satu sen berbanding harga rujukan 26 sennya.
Semasa loceng pembukaan, sejumlah 10,000 saham telah didagangkan. Penyenaraian kumpulan itu adalah yang ke-16 di Bursa dan yang ketiga di Pasaran LEAP pada tahun ini.
Kumpulan itu berkata sebanyak RM6 juta, majoriti daripada jumlah hasil kasarnya sebanyak RM10.06 juta yang diperoleh, akan digunakan untuk membiayai pertumbuhan dan pengembangan perniagaan kumpulan melalui penggabungan dan pengambilalihan, usaha sama, perkongsian strategik dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan profesional lain yang menyediakan perkhidmatan yang serupa atau pelengkap.
Sebanyak RM1 juta lagi akan digunakan untuk pelaburan dalam perisian dan perkakasan untuk pejabat cawangan baharunya serta kakitangan teknologi maklumat tambahan untuk menyokong kumpulan itu.
Sementara itu, baki RM2.06 juta dan RM1 juta akan diperuntukkan untuk membiayai modal kerja CC International dan anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Tawaran perkhidmatan CC International terdiri daripada penyumberan luar perkhidmatan perakaunan dan perniagaan, cukai, kesetiausahaan korporat, perundingan perniagaan dan perkhidmatan pengurusan kekayaan.
Kumpulan itu mempunyai 13 pejabat di Malaysia, terletak di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Perak, Terengganu dan Labuan, yang melayani hampir 8,000 pelanggan korporat dan individu.
Berucap pada Majlis Penyenaraian itu, Pengerusi Eksekutif CC International Berhad Dato’ Dr Chua Hock Hoo berkata, pihaknya amat berbangga dan berterima kasih atas peluang untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia hari ini.
"Untuk menjadi sebahagian daripada bursa bertaraf dunia seperti Bursa Malaysia akan meningkatkan status kami, memberi inspirasi kepada kami untuk merealisasikan aspirasi serta mempercepatkan pengembangan kami.
“Hari ini, kami bergerak selangkah lebih dekat untuk merealisasikan rancangan perniagaan kami,'' kata beliau.
Melangkah ke hadapan kata Dr Chua, syarikat berhasrat untuk memanfaatkan rekod prestasi yang kukuh dan terus mencari peluang pasaran dan mengukuhkan kehadiran dalam pasaran tempatan dan serantau.
"Berdasarkan asas, kepakaran dan pengalaman kami yang kukuh, kami yakin Kumpulan akan terus mencatat prestasi kukuh pada tahun-tahun akan datang,” kata beliau.
Yang turut hadir pada majlis pagi ini ialah Pengarah Eksekutif Kanan, Ong Chee Seng; Ketua Strategi dan Sumber Manusia, Alex Kang Sin Loon' Ketua Perkhidmatan Kesetiausahaan Korporat, samuel Tiew Sze Hann; Ketua Pegawai Kewangan, Melissa Thoo Loy Hee; Pengarah Eksekutif dan Ketua Perkhidmatan Percukaian, Lam Kwai Soon; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri David Wong Dak Wah; Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Khai Meng. - DagangNews.com