Penang Development Corporation dikehendaki pulangkan sepenuhnya deposit Umech Land berjumlah RM64.6 juta | DagangNews Skip to main content

Penang Development Corporation dikehendaki pulangkan sepenuhnya deposit Umech Land berjumlah RM64.6 juta

KUALA LUMPUR 25 Okt - Penang Development Corp (PDC) dikehendaki memulangkan sepenuhnya deposit yang telah dibayar Umech Land Sdn. Bhd. berjumlah RM64.6 juta selepas penamatan perjanjian pembangunan bersama (JDA) bagi pembangunan Batu Kawan Industrial Park 2 (BKIP2).

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway Berhad mengesahkan bahawan anak syarikatnya, Umech Land telah menerima notis penamatan JDA daripada PDC pada Jumaat lepas.

 

"Menurut notis penamatan, JDA akan ditamatkan pada tamat tempoh 90 hari dari tarikh notis," kata Sunway, sambil menambah bahawa PDC akan membayar balik deposit sepenuhnya dalam tempoh 30 hari dari tarikh penamatan JDA.

 

Minggu lalu, lembaga pengarah PDC menamatkan perjanjian kerjasama dengan Umech Land bagi pembangunan BKIP2.

 

BACA JUGA: Lembaga Pengarah PDC batalkan perjanjian usaha sama dengan Umech Land

 

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, lembaga pengarah PDC berkata perubahan dalam struktur ekuiti pemegang saham majoriti Umech Land, yang dilakukan tanpa tanpa kelulusan PDC, “adalah isu yang serius dan tidak boleh diterima oleh lembaga PDC”.

 

Ia merujuk kepada fakta bahawa Sunway telah muncul sebagai pemegang saham majoriti Umech Land hanya dua hari sebelum pengumuman perjanjian dengan menyuntik RM23.33 juta ke dalam syarikat itu, sekali gus mencairkan pegangan saham pemegang saham asal — Karen Cheng Pui Kwan kepada 21% dan Nathaniel Rajakumar kepada 9%.

 

Sebelum suntikan tunai Sunway, Umech Land adalah 70:30 dimiliki oleh Cheng dan Nathaniel.

 

Bagaimanapun, lembaga pengarah PDC menegaskan bahawa proses pemilihan Umech Land adalah telus dan selaras dengan dasar PDC. - DagangNews.com