Penang Port, Universiti Malaysia Terengganu bekerjasama pacu inovasi industri pelabuhan | DagangNews Skip to main content

Penang Port, Universiti Malaysia Terengganu bekerjasama pacu inovasi industri pelabuhan

(Dari kiri) Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT, Profesor Dr Mohammad Fadhli Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Mohd Zamri Ibrahim; Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporat PPSB, Mohamed Shaffi Khatri Abdulla; dan Ketua Projek Khas SPALTech PPSB, Jafrul Fazli Jaafar.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Penang Port Sdn Bhd (PPSB) telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi memacu inovasi industri pelabuhan dengan menerajui amalan mampan dan menerapkan teknologi canggih dalam bidang pelabuhan dan logistik.

 

Dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), kerjasama ini dikenali sebagai Kolaborasi Pintar yang menjadikan PPSB sebagai industri pelabuhan pintar dan hijau, serta menjadi contoh kepada penggiat industri pelabuhan yang lain, kata pengendali pelabuhan dan logistik itu dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Melalui MoU terbabit, PPSB dan UMT telah mengenal pasti beberapa bidang utama kerjasama, seperti pertukaran kakitangan antara kedua-dua pihak bagi program industri ini yang akan merapatkan jurang akademik dan penggiat industri pelabuhan, memupuk perkongsian pengetahuan dan pertukaran pengalaman praktikal.

 

Menurut PPSB, program akademik ini membolehkannya memanfaatkan peluang untuk bersama individu berbakat di UMT, memanfaatkan kepakaran dan kemahiran mereka bagi memenuhi keperluan khusus serta menangani cabaran yang dihadapi dalam industri pelabuhan dan logistik.

 

Di samping itu, penyelarasan strategik akademik dan industri ini akan memastikan bahawa graduan dilatih dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk membentuk kepakaran dalam industri.

 

Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporat PPSB, Mohamed Shaffi Khatri Abdulla berkata kerjasama ini lebih tertumpu kepada program penyelidikan dan pembangunan untuk memacu inovasi dan meningkatkan kecekapan dalam operasi pelabuhan.

 

“Dengan memanfaatkan teknologi canggih, PPSB dan UMT mempunyai matlamat untuk menetapkan standard baharu industri pelabuhan dan meningkatkan produktiviti dalam kalangan kakitangan.

 

“Kerjasama ini merangkumi bengkel dan program latihan bagi memupuk budaya pembelajaran yang berterusan serta mendorong kakitangan untuk terus maju ke hadapan, khususnya dalam bidang industri pelabuhan,” ujar beliau.

 

Sementara itu, visi jangka panjang bagi kerjasama ini bertujuan untuk meletakkan PPSB dan UMT sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan serta pembangunan industri pelabuhan dan logistik.

 

Dengan memanfaatkan kepakaran UMT, dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan meningkatkan teknologi marin, PPSB berkata ia yakin dapat menyesuaikan diri dengan arus pembangunan yang mampan.

 

Kerjasama ini memberi jaminan untuk mendapatkan geran penyelidikan dan pembangunan kerajaan, secara langsung dapat mengurangkan kos yang berkaitan dengan pelaksanaan projek di samping dapat memaksimumkan hasil dan pencapaian syarikat.

 

Selain itu, kerjasama ini juga boleh membawa kepada pengecualian atau pengurangan cukai untuk pelaksanaan projek ini.

 

PPSB dan UMT berhasrat untuk menjadi pelopor di lapangan ini, mendorong inovasi serta menetapkan penanda aras baharu industri pelabuhan. - DagangNews.com