Penapis air sebabkan bil elektrik tinggi - TNB | DagangNews Skip to main content

Penapis air sebabkan bil elektrik tinggi - TNB

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Kerap merungut bil elektrik melambung tinggi? Tak guna penyaman udara tapi kenapa masih tinggi?

 

Ini jawapan Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

 

Menurut Ketua Peruncitan TNB Selangor, Ismail Lathi Teh, mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutama ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

 

Malah, katanya, peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan ketika cuaca panas.

 

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu. 

 

"Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk," katanya seeprti dilapor Bernama hari ini.

 

Beliau berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

 

Ismail Lathi berkata, jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

 

Sehubungan itu, beliau turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

 

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas. 

 

"Ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

 

Ismail Lathi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih esien dan jimat.

 

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik," katanya. - DagangNews.com