Penarafan Fitch - Apa sebenarnya pendirian PH? | DagangNews Skip to main content

Penarafan Fitch - Apa sebenarnya pendirian PH?

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mempersoalkan pendirian gabungan politik Pakatan Harapan (PH) berhubung isu semak turun penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings daripada A- kepada BBB+.

 

Berikut adalah kenyataan penuh beliau : 

 

1. Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah membuat kenyataan media tentang semakan semula penarafan negara Malaysia oleh Fitch, iaitu penurunan satu anak tangga daripada A- kepada BBB+ yang telah diumumkan pada 4 Disember 2020.


 
2. Saya sudah menjangkakan ini akan dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan, tetapi amat mengecewakan apabila pemimpin-pemimpin PH yang menandatangani kenyataan media tersebut, adalah mereka yang selama ini berkata yang sebaliknya.


 
3. Pada 24 Ogos lalu, YB Port Dickson merangkap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat bahawa penarafan bukan isu utama yang patut diberatkan kerajaan dan “soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan”. Pada bulan yang sama, YB Bagan, Lim Guan Eng, pula di dalam Dewan Rakyat menyeru kerajaan untuk berbelanja lebih dalam senario wabak COVID-19 ini walaupun “hutang akan naik, fiscal deficit akan naik tetapi ini amat diperlukan”.


 
4. Dengan memegang kepada semangat keterbukaan, saya ingin bertanya kepada mereka: Apakah sebenarnya yang PH mahukan daripada isu penarafan ini? Sukar untuk kita memahami jika semalam mereka mendesak agar kerajaan jangan terlalu hiraukan hutang dan rating; tetapi hari ini pula menyelar kerajaan kerana kejatuhan rating tersebut.


 
5. Saya dan rakyat mempersoalkan pendirian dan perkataan bercanggah ini. Yang mana satu lebih penting wahai YB – penarafan dan rating atau perbelanjaan untuk rakyat?


 
6. Ahli-ahli parlimen PH sendiri telah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan kerana peruntukan memerangi COVID-19 tidak mencukupi. Oleh itu, berdasarkan pendirian ini, saya berharap YB-YB tersebut akan konsisten dalam menyokong rang undang-undang yang diusulkan kerajaan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang COVID-19 sebanyak RM20 bilion dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung ini.  


 
7. Saya juga terpanggil untuk menjawab tohmahan bahawa kerajaan tidak bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam usaha memulihkan ekonomi negara. Tetapi, bukankah penambahbaikan Belanjawan 2021 yang saya umumkan tempoh hari mengambil kira cadangan-cadangan penambahbaikan dari pelbagai pihak, termasuk dari pihak pembangkang?


 
8. Ada satu lagi faktor besar yang dinyatakan Fitch beberapa kali dalam laporan mereka sebagai menyumbang kepada penurunan penarafan iaitu: ketidaktentuan situasi politik negara. Namun, pada masa yang sama, Fitch dalam kenyataan mereka telah mengiktiraf pelbagai usaha Kerajaan. Let’s look at the facts:


 
a. Pertama, unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 6% kepada 5.4% untuk tahun 2021 dan seterusnya kepada 4.5% sehingga 2023 dikatakan sasaran yang boleh dicapai.


 
b. Kedua, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5% ke 7.5% bagi tahun 2021. Pihak PH sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7% sejajar dengan unjuran kita sendiri. Institusi lain seperti IMF pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8%, iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan kepada kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali.


 
c. Ketiga, walaupun penarafan diturunkan, tinjauan atau outlook telah bertukar daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil’.


 
9. Namun perlu ditekankan, kesemua ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk penemuan vaksin, pematuhan kepada SOP dan kejayaan berterusan dalam memerangi penularan COVID-19. Kestabilan politik juga penyumbang penting kepada situasi ekonomi ini.


 
10. Selain itu, saya tidak bersetuju dengan tohmahan bahawa usaha-usaha Kementerian Kewangan tidak mendatangkan manfaat. Dalam usaha menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan, kerajaan Malaysia tidak pernah kompromi:


 
a. Empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion dengan nilai sekitar 20% KDNK negara, adalah antara yang tertinggi di Asia,


 
b. Belanjawan 2021 adalah yang terbesar dalam sejarah negara, dan 


 
c. Tidak dilupakan juga, kerajaan telah membuktikan ketersediaan untuk menambah peruntukan bagi memerangi COVID-19 jika perlu.


 
11. Jangan lihat apa yang telah dilaksanakan sahaja. Mari kita lihat sekali keberhasilan atau outcome yang telah dicapai setakat ini menerusi pakej-pakej rangsangan tersebut:


 
a. Negara telah mencatatkan penguncupan KDNK yang lebih perlahan pada kadar 2.7% pada suku ketiga 2020 – antara terbaik di ASEAN – berbanding 17.1% pada suku kedua.


 
b. Pakej-pakej rangsangan ekonomi juga telah membantu mengekalkan lebih 2.8 juta pekerjaan, yang boleh dilihat melalui penurunan kadar pengangguran kepada 4.6% pada September berbanding 5.3% pada bulan Mei.


 
c. Menurut Universiti Johns Hopkins, Malaysia telah mencapai nisbah kes COVID-19 berbanding kematian dalam lingkungan 10% terendah di peringkat global hasil daripada pelaksanaan langkah yang berkesan dalam membendung wabak tersebut.


 
12. Tambahan pula, sejak pengumuman Jumaat lalu, there has been no knee-jerk reaction daripada pasaran. Dalam hal ini, FBM KLCI dan mata wang ringgit kekal stabil dan kita merekodkan permintaan yang tinggi (Bid to Cover Ratio) iaitu 2.6 kali melebihi nilai tawaran untuk bon Kerajaan MGII 10-tahun yang diterbitkan minggu ini. Dalam kata mudahnya, keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara jangka panjang masih kukuh.


 
13. Jadi, PH mungkin tersilap, atau memilih untuk mengabaikan fakta apabila mengaitkan penurunan penarafan ini dengan cara kerajaan PN merancang pemulihan ekonomi negara, walhal pelbagai indikator menunjukkan unjuran pertumbuhan yang menggalakkan, Alhamdulillah.


 
14. Panjang pendek ceritanya, mempolitikkan isu Fitch Ratings adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.


 
15. Ada satu lagi perkara. Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang diturun taraf oleh Fitch. Sebanyak 100 negara telah mengalami penurunan penarafan pada tahun ini, termasuk UK, Hong Kong, Chile dan Laos.


 
16. Namun, saya tetap menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan Fitch kerana tugas saya sebagai Menteri Kewangan bukan sahaja untuk mempertahankan langkah-langkah ekonomi yang diumumkan, tetapi lebih dari itu, saya dan pasukan Kementerian Kewangan benar-benar yakin dengan strategi dan tindakan yang telah diambil setakat ini. Kami juga akan terus mengadakan sesi libat urus bersama agensi penarafan kredit dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat sebenar dan tepat dapat disampaikan.


 
17. Usaha memperkukuhkan ekonomi negara, baik dari aspek yang dinyatakan dalam laporan Fitch mahupun aspek-aspek yang lain, akan diteruskan. Ini jelas dilihat dari komitmen kerajaan untuk melaksanakan langkah konsolidasi dan kemampanan fiskal berpandukan kepada Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF). Ini termasuk menurunkan tahap keberhutangan negara atau defisit fiskal yang ditanggung dan diwarisi oleh kerajaan sekarang. Usaha-usaha pelaksanaan dan pemantauan pakej rangsangan dan inisiatif Belanjawan 2021 melalui agensi LAKSANA akan ditingkatkan dengan penuh dedikasi.


 
18. Jika saya mahu berpolitik, boleh saja saya ungkitkan beberapa perkara yang ditulis oleh Fitch dalam laporan mereka – perkara yang sebenarnya berkaitan dengan pihak lain dan bukan kerajaan hari ini, tetapi saya rasakan, rakyat Malaysia sudah muak dengan politik. Malaysians have had enough of this kind of politicking. For the future and betterment of all Malaysians, let us focus on re-building and stabilising the economy together.
 
TZA
8 Disember 2020