KUALA LUMPUR 7 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Rsearch positif terhadap perubahan yang dibuat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) terhadap penemuan buruh paksa terhadap Sime Darby Plantation (SDP).
"Ini menunjukkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikenakan oleh CBP AS sejak Januari 2022 akan ditarik balik tidak lama lagi, justeru membolehkan SDP menyambung semula eksport produk minyak sawitnya ke AS," kata firma itu dalam satu nota kajian, hari ini.
CBP AS pada 3 Februari telah mengubah suai penemuan buruh paksa terhadap SDP, berikutan kenyataan jabatan itu bahawa produk minyak sawit syarikat tidak lagi dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Pada 16 Disember 2020, CBP AS mengeluarkan WRO ke atas produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh SDP dan anak syarikatnya berdasarkan maklumat yang secara munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 penunjuk buruh paksa Organisasi Buruh Antarabangsa dalam proses pengeluaran SDP.
CBP AS kemudiannya mengeluarkan notis penemuan pada 28 Januari 2022, di mana ia telah menentukan bahawa produk minyak sawit SDP tertentu dihasilkan menggunakan buruh banduan, paksa atau inden, dan penemuan itu ditujukan terutamanya kepada operasi SDP di Malaysia.
“Sebagai maklum balas, SDP memperkenalkan beberapa strategi sebagai sebahagian daripada komitmennya yang diperbaharui untuk menjaga kebajikan pekerjanya.
"Ini termasuk, pembayaran balik yuran pengambilan yang mungkin dibayar oleh bekas pekerja semasa dan layak untuk mendapatkan pekerjaan dengan SDP, pengenalan jangkaan yang lebih ketat dalam Prosedur Pengambilan Bertanggungjawab Pekerja Migran, menjalankan usaha wajar yang kerap ke atas kontraktor untuk memastikan mereka mematuhi polisi dan garis panduan pengurusan vendor kontraktor SDP (semasa menguruskan pekerja) dengan tegas dan mewujudkan platform dialog sosial," katanya.
Firma itu mengekalkan unjurannya terhadap SDP kerana ia percaya kesan WRO terhadap pendapatan SDP adalah minimum dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Firma itu juga juga mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM4.49 sesaham. - DagangNews.com